Halaman

17 April 2013

PRU13- Masyarakat Setiu bakal terima sentuhan hakim

Oleh; Esah Abdullah

‘Saya akan menggunakan pengalaman sebagai pentadbir untuk mentadbir dalam kawasan jika diberi peluang untuk berkhidmat di Parlimen Setiu, “ kata Che Mohd Zulkifly Jusoh, 54, yang dinamakan sebagai calon BN bagi Parlimen Setiu pada pilihan raya ini.

Beliau yang tinggal di Felda Kampung Rahmat, Setiu dan merupakan ahli Umno di cawangan Kampung Rahmat itu telah diumum sebagai calon bagi Parlimen Setiu, petang semalam.

Beliau mengambil  keputusan menerima tawaran daripada pucuk pimpinan parti kerana meminati bidang politik secara diam dan selalu mengikuti perkembangan melalui media masa dan media elektronik serta rakan-rakan di kawasan.

“Saya mengambil masa sebulan untuk membuat keputusan menerima tawaran sebagai calon dalam PRU13 serta bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berharap diterima baik oleh masyarakat,” katanya.

Che Mohd Zulkifly mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Ittifikiah Besut, kemudian, melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang kemudiannya ke Universiti Malaya (1978-1973) mengambil jurusan undang-undang .

Beliau yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang guaman bermula 1983 sebagai peguam kemudian dilantik sebagai Majistret (1985-1989) seterusnya menjadi Penolong Kanan Pendaftar dan Timbalan Pendakwaraya serta akhir sekali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Seksyen Jalan Duta Kuala Lumpur.

Katanya, dengan jawatan yang dipegang beliau tidak boleh terlibat secara langsung dalam bidang politik kerana terikat dengan etika penjawat awam tetapi secara tidak langsung segala perkembangan dalam parti berada dalam pengetahuannya.

Sepanjang bertugas di ibu kota beliau sering berulang alik ke kampung halamannya serta sentiasa dekat dengan masyarakat di situ.

"Saya terpanggil untuk bergerak secara aktif memandangkan senario politik sekarang sangat berbeza serta berdepan dengan cabaran getir setelah munculnya parti Pakatan Rakyat (PR) yang secara terangan menentang Islam seperti DAP.

“InsyaAllah jika diberi keizinan-Nya , serta terpilih untuk menjadi wakil rakyat saya akan berusaha keras membetulkan keadaan terutama masyarakat di kawasan yang saya wakili,” katanya.

Beliau j juga akan meneruskan hasrat pucuk pimpinan parti mentransformasikan bidang pelajaran dan ekonomi serta akan membuat sesuatu yang baru dalam di kawasan tersebut.