Halaman

28 April 2013

PRU13: Nik Dir terus semai benih kasih-sayang, tanpa kira fahaman parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Bersandarkan keyakinan bahawa lambat-laun mata dan hati penduduk akan terbuka untuk berubah bagi menzahirkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, 56, nekad untuk terus menanam benih kasih-sayang dan keprihatinan terhadap warga di kawasan itu.

Selain berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan DUN (PPD) sejak lima tahun lalu, Haji Nik Dir yang sudah berkecimpung dalam politik 38 tahun lalu termasuk menjadi Pengerusi Penyelaras DUN sejak 2000, beliau sudah `masak’ dengan gaya dan sikap penduduk yang hampir 90 peratus sudah didekati beliau secara langsung mahupun tidak langsung di pelbagai majlis seluruh Marang.

"Rakyat di DUN ini kebanyakannya hidup miskin dan bekerja kampung termasuk nelayan. Mereka susah tetapi tidak mahu menerima bantuan yang diberikan kerajaan akibat taksub dengan amanat Haji Hadi. Tidak kurang juga segan untuk memohon bantuan sebab mereka mempunyai ideologi politik berbeza."

"Kebanyakan nelayan di sini mendapat bantuan daripada kerajaan BN, seperti minyak subsidi, enjin bot, membaiki bot serta rumah mereka. Pendekatan saya sepanjang lima tahun sebagai PPD, saya tidak pernah meminggirkan walau seorang penyokong Pas pun, kalau saya hendak pinggir penyokong Pas, terdapat 700 orang penerima bantuan bulanan nelayan tidak akan dapat menikmati bantuan itu walaupun 65 peratus daripada mereka adalah penyokong Pas hasil yang saya kenal pasti seorang demi seorang. Tetapi, saya tidak pernah pinggir mereka,” katanya kepada pemberita, di Kampung Paya, Rhu Rendang, Marang, baru-baru.

Beliau juga tidak gentar untuk berdepan pemimpin utama Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada perlawanan satu lawan satu kali ini, bersandarkan keikhlasan membantu rakyat tanpa mengira fahaman dan parti kerana yakin lama-kelamaan rakyat akan sedar untuk memilih pemimpin mana yang lebih layak dipilih bagi memastikan hidup mereka terus terbela.

Pendekatan itu menjadi senjata utama Haji Nik Dir yang boleh menggugat kedudukan Abdul Hadi di kubunya, apabila semakin ramai pengundi daripada keseluruhan 22,701 orang termasuk pengundi atas pagar dan tidak kurang juga pengundi tegar Pas kian mendekati BN.

Beliau yang lebih dikenali sebagai `Pok Nik’ lebih selesa berpenampilan ssederhana dan bersahaja, berkata walaupun Rhu Rendang dan parlimen Marang pernah ditawan Pas dalam tempoh yang lama, pembangkang gagal menjaga kebajikan rakyat, apatah lagi merancang dan mewujudkan pembangunan di kawasan itu.

“Selain pembangunan sedia ada, kemudahan infrastruktur jalan raya, longkang, Kerajaan BN turut merancang pelbagai pembangunan lain termasuk 1,000 unit Rumah Mampu Milik, satu perumahan bercampur berhampiran Sekolah Kebangsaan Kelulut dan pembinaan Lagun Marang yang turut dilengkapi resort dan hotel.

 “Semua itu pasti dapat berjalan lancar bergantung kepada keikhlasan dan sokongan rakyat yang memilih wakil rakyat yang boleh merealisasikan hasrat itu pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Biarpun pertama kali diberi tanggungjawab sebagai calon BN, Haji Nik Dir optimis, perubahan ketara bakal melanda DUN itu selepas rakyat mula muak dan menolak wakil rakyat yang berimejkan Islam dan diagung-agungkan mereka selama ini, apabila pemimpin pembangkang itu sudah jauh tersasar dari perjuangan agama yang sebenar.