Halaman

22 April 2013

PRU13:Jentera BN bekerja untuk menangkan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru jentera parti bekerja keras dan mengelak daripada memberi tumpuan kepada individu tertentu bagi memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama calon Parlimen Kuala Terengganu , Zubir Embong (BN) beramah mesra dengan kakitangan media Terengganu semasa melawat  Pusat Media Pilihanraya Umun ke-13 , Jabatan Penerangan Negeri Terengganu  di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, jentara parti tidak seharusnya memberi tumpuan kepada individu sepanjang kempen pilihan raya ini kerana calon-calon yang diketengahkan hanya `alat’ sementara bagi memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.

“Saya menyeru jentera parti bekerja untuk parti, bukan untuk individu kerana individu hanya sebagai alat sementara sahaja, selepas tamat masa kita, orang lain pula akan menggantikan tempat kita.

 “Perjuangan parti mesti diteruskan. Ini kita harus faham sebagai ahli parti. Sebagaimana juga saya beritahu, adat berkampung, kampung kita pertahankan, adat negeri, negeri kita pertahankan, adat negara, negara kita pertahankan dan adat parti, parti yang harus kita pertahankan,” kata beliau kepada pemberita sempena kunjungan dan perasmian Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar turut meninjau operasi pusat itu yang berperanan sebagai tempat untuk mengakses maklumat berkaitan PRU13 untuk semua petugas media di Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Paun Azizah Awang dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat. Turut hadir, calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan Ketua Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kesetiaan kepada parti perlu mendahului sokongan kepada pemimpin bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati yang boleh menjejaskan perjuangan selama ini jika sesuatu yang dihajati tidak terlaksana.

“Macam yang saya kata, saya hanya sementara, takkan kalau orang lain, apabila kamu menyokong saya, jika saya tiada, nak bersara dan merajuk. Itu tidak boleh. Kita perlu bekerja untuk parti. Sebab itu jika dulu dia pernah menjadi calon dan menyeru rakyat menyokong dan memberi peluang kepadanya.

“ Pada masa yang sama, ramai juga orang lain yang tidak berpuas hati tidak menjadi calon. Ramai juga hendak menjadi calon. Tetapi boleh mengawal perasaan dengan baik.

 “Sekarang tiba giliran kita pula tidak menjadi calon, orang lain yang menjadi calon, kita tolonglah beri sokongan. Yang bertanding itu siapa? Kawan kita, ahli parti kita. Kalau bukan keluarga kita sekurang-kurangnya dia ahli parti bersama-sama dengan kita. Kenapa kita sanggup memusnahkan mereka, sabotaj sehingga kalah. Apa yang kita dapat. Mungkin Kita dapat kepuasan, tetapi sampai bila,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau akan meneruskan lawatan ke seluruh bahagian secara berperingkat-peringkat dan meluangkan masa sehari di setiap DUN sehingga tamat hari berkempen bagi menemui rakyat, pemimpin dan jentera parti.

Beliau juga melihat perkembangan positif di setiap DUN serta bahagian yang dilawati, malah yakin semua masalah di peringkat awal akan pulih sepenuhnya menjelang hari pengundian pada 5 Mei ini.