Halaman

09 April 2013

Sindrom tuduhan tidak berasas Tuan Guru

Oleh: Sutera Biru

Sindrom suka membuat tuduhan tidak berasas terus melanda pemimpin utama Pas. Mursyidul Amnya Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, Umno membina masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor.

Tuduhan celupar Menteri Besar Kelantan itu turut disusuli dengan kenyataan bahawa program-program berkaitan Islam yang dilakukan Umno juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar. Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. Umno pula 'sambil menyelam sambil bekwoh (kenduri)'. Bukan setakat minum sahaja, makan besar,"-kenyataan angkuh beliau sebaik melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar, di Kota Bharu, semalam.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu dekat sini, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang Umno idak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam

Dakwaan Nik Abdul Aziz itu dibidas banyak pihak terutama golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abd. Rahman dan Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Mengenai dakwaannya itu, Nik Abdul Aziz tetap mempertahankan kenyataan itu dengan menegaskan, orang Umno bermakna orang yang menolak Islam dan sembahyang mereka sememangnya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran pahala.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya menerima Islam dengan sepenuhnya dan menolak Islam bermakna mereka turut menolak Allah s.w.t.

Penyakit yang melanda Tuan Guru Nik Aziz yang sinonim gemar mengeluarkan kenyataan yang menyesatkan pemikiran umat sejak dulu lagi, tidak pernah menghalang usaha Kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional meneruskan agenda membangunkan martabat dan syiar Islam.

 Di Terengganu umpamanya, sudah 13 masjid dibina sejak 2008 hingga Mac 2013 sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin dan usaha memakmurkan umat Islam di negeri Darul Iman.

Pertambahan masjid saban tahun dalam pelbagai reka bentuk dan ciri yang menepati konsep sebagai rumah ibadat itu melambangkan pemerintah yang bertanggungjawab dan bukan sekadar berjanji tetapi terus mengembangkan bidang kerohanian dan agama Islam di segenap pelusuk negeri.

Bukan sahaja masjid yang dibina baru, sebanyak 23 masjid turut dibina semula di kawasan yang sama termasuk Masjid Gong tok Nasek, Kubang Ikan, Kubang Parit, Bukit Besar dan Darat Batu Rakit (Kuala Terengganu).

Manakala di Kemaman masjid yang dibina semula atas kawasan yang sama adalah Masjid Perasing Jaya, Kijal, Kemasik dan Batu 14, selain Masjid Paya Pelandan, Pulau Serai, Kuala Jengal dan Durian Mentangau (Dungun). Di Marang, masjid yang dibina semula di tapak sama, termasuk Masjid Gong Bayor, Lubuk Kawah dan Pulau Perhentian (Besut), serta Pengkalan Berangan, Sentul Patah, Surau Haji Yaakub dan Kelulut (Marang).

Selain menjadi lambang kepada syiar Islam, masjid juga sebagai pusat bagi mengembangkan ajaran-ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam kerana di rumah Allah itu ibadat dapat dilaksanakan dengan lebih khusyuk dan tawaduk, dapat mengerjakan sembahyang berjemaah, memperolehi ilmu pengetahuan dan menerima nasihat serta pengajaran demi kebaikan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.

Justeru itulah usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, ialah mendirikan masjid Quba', iaitu sebuah masjid yang disifatkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai masjid yang didirikan atas dasar takwa.

Firman Allah, yang bermaksud, `Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa semenjak mula-mula dibina adalah lebih patut engkau mendirikan sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat beberapa orang lelaki yang suka supaya dirinya bersih, sedang Allah kasih kepada orang yang bersih.

Firmannya lagi, ertinya, `manakah yang lebih baik, orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya atas takwa kepada Allah dan keredhaannya, atau orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya di atas tepi jurang yang runtuh sehingga ia jatuh bersama-samanya dalam neraka jahanam ? sedang Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.'

 Kemudian tidak lama selepas Rasulullah menetap di Madinah baginda mendirikan sebuah lagi masjid di bandar Madinah yang lebih terkenal dengan Masjid an- Nabawi yang juga disifatkan oleh baginda sebagai `masjid yang telah dibina atas dasar takwa'.

Sebagaimana diterangkan oleh baginda di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dalam `Syarhu Jamiu At-Tarmizi.'  Memandangkan kepada pentingnya pembinaan masjid dalam perkembangan agama Islam Rasulullah telah menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di mana sahaja mereka berkampung, sebagaimana yang diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a katanya ; Ertinya Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya mendirikan masjid di tempat-tempat perkampungan dan hendaklah sentiasa dibersihkan dan diharumkan (Ahmad dan Abu Daud dan Al-Tarmizi )

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah menerangkan kelebihan orang yang mendirikan masjid atau balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang mendermakan hartanya untuk mendirikan masjid seperti tersebut di dalam sebuah hadis : Dari Usman r.a katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: `Barangsiapa membina sebuah masjid semata-mata ikhlas kerana Allah Taala nescaya Allah taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di syurga."

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis tersebut jelaslah bahawa seseorang yang hendak membuat amal jariah mendirikan masjid atau mengeluarkan harta sebagai derma mendirikan masjid mestilah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Seterusnya elakkan diri dari mengandungi niat atau tujuan yang kotor yang tidak diredhai oleh Allah. Sebagaimana firmannya ; Ertinya ;  Di antara mereka terdapat juga orang-orang yang mendirikan masjid untuk mendatangkan mudarat dan kufur, dan mencerai beraikan antara orang-orang yang beriman dan sebagai pengintip kepada orang-orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semasa dahulu serta mereka bersumpah dengan katanya, `Tiadalah kami bermaksud untuk memperbuat masjid ini melainkan semata-mata kebaikan 'sedang Allah mengetahui bahawa mereka orang yang bohong. (Surah At-Taubah ayat 107)