Halaman

01 April 2013

T-Team jalin kerjasama dengan akademi Portugal

Oleh: Noraini Jusoh

Bagi merealisasikan hasrat untuk menubuhkan Akademi Bola Sepak Titans Muda menjadi kenyataan, pasukan T-Team bekerjasama dengan Akademi Bola Sepak Benfica yang berpusat di Lusbon, Portugal.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, buat permulaan, T-Team mengambil Eduardo Almeida, bekas jurulatih skuad bawah 17 tahun Benfica sebagai ketua jurulatih akademi untuk melatih pemain cilik seawal usia enam hingga 17 tahun yang berminat mengasah bakat dalam sukan bola sepak.

"Kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi supaya suatu hari nanti bukan sahaja pemain T-Team, malah pemain negara juga dicungkil bakat mereka melalui akademi ini.

"Akademi yang berkonsepkan ‘bola sepak untuk semua’ ini bakal menyediakan platform baru kepada anak muda untuk membina dan mempelajari asas dan teknik bola sepak dan padang Kompleks Sukan Gong Badak dipilih sebagai lokasi pertama untuk memulakan program ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh dan Eduardo Almeida, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Haji Rozi berkata, sekiranya operasi di padang Kompleks Sukan Gong Badak berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan, program ini akan diperluaskan ke beberapa pusat atau daerah lain secara berperingkat.

Katanya, selain mendapat modul latihan, pelatih yang menyertai Akademi Bola Sepak Titans Muda berpeluang memperagakan kit pakaian daripada kelab Portugal itu disamping beberapa imbuhan dan kemudahan lain malah berpeluang menjalani latihan di sana.

"Jalinan kerjasama ini bermula selepas kedua-dua pihak menandatangani MoU pada hari ini dan yang lebih menarik, setiap tahun tiga pelatih terbaik akan dihantar menjalani latihan selama tiga bulan ke Portugal,” jelasnya.

Menurut Haji Rozi, akademi ini diharap akan menjadi pemangkin kepada kegemilangan bola sepak bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negara.