Halaman

04 April 2013

Tarikh mengundi dijangka 27 April, penamaan calon 13 April

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) boleh diadakan seawal 20 April dan penamaan calon pada 10 April (Rabu) depan, berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Bagaimanapun, banyak pihak meramalkan pengundian akan diadakan pada 27 April depan manakala penamaan calon pada 13 April, dengan mengambil kira faktor cuti hujung minggu bagi semua negeri.

Apa pun keputusan muktamad bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka mengadakan mesyuarat esok atau awal minggu depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, PRU13 boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat semalam, dengan mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lalu.

"Kalau kira mulai 3 April hari ini, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU-13) selewat-lewatnya 28 Mei," katanya dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Tan Sri Abdul Aziz menjelaskan banyak faktor yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan penamaan calon dan tarikh pengundian, termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar. "Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita.

Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara," katanya.

Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU-13 itu akan menjadi pilihan raya "terburuk" dalam sejarah negara, kononnya berlaku penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.

"Saya langsung tak percaya PRU-13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas, pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya percaya PRU-13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur," katanya.

Katanya, SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan pembersihan berterusan Daftar Pemilih.