Halaman

05 April 2013

Terengganu duduki tangga ketiga FDI

Oleh: Suriati Ali 

Kestabilan politik dan ekonomi terbukti menarik minat pelabur asing melabur di negeri ini apabila Terengganu kini berada di kedudukan ketiga terbaik dalam negara dengan meraih kadar kemasukan Pelaburan Lasung Asing (FDI) tertinggi.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peningkatan jumlah FDI setiap tahun itu turut dipengaruhi potensi negeri ini yang mempunyai kepelbagaian sumber hasil alam serta infrastruktur lengkap yang menyajikan suasana kondusif dan mesra pelabur.

 Katanya, peningkatan itu juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang kemajuan serta penglibatan syarikat tempatan dalam pelaburan yang dilaksanakan.

"Tahun ini sahaja, kerajaan negeri berjaya menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan sebanyak RM25 bilion melalui industri besi waja di daerah Kemaman termasuk pembinaan sebuah kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

"Apabila siap nanti, projek ini dijangka dapat memberi peluang sekurang-kurangnya 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan," katanya dalam satu majlis baru-baru ini..

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, peningkatan kadar FDI di Terengganu bukan sahaja dipengaruhi projek-projek yang dijalankan ketika ini, tetapi hasil kejayaan perkembangan projek sedia ada dan yang sedang dalam pembinaan.

Jelasnya, melalui pelaburan yang diraih, kerajaan negeri menjangkakan memperoleh pulangan sehingga RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan dalam kalangan pelabur asing menerusi pelbagai industri berskala besar.

"Tahun lepas sahaja, kita menerima pelbagai pelaburan misalnya dari China, Korea dan Perancis yang bakal menawarkan kira-kira 6,000 bidang pekerjaan apabila beroperasi dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.