Halaman

15 April 2013

Tiada sekatan media asing sepanjang PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiada sekatan untuk media asing membuat liputan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di seluruh negara, sama ada menerusi agensi masing-masing di Malaysia, mahupun ke negara ini semata-mata untuk liputan proses pilihan raya itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Dato’ Ibrahim Abdul Rahman. 

“Media asing yang sudah mempunyai wakil mereka di Malaysia, atau datang ke negara ini bagi membuat liputan PRU13 boleh melaksanakan tugasan mereka tanpa sekatan dan halangan.

“Bagaimanapun mereka seperti juga media tempatan, perlulah mendapatkan pas akreditasi daripada Jabatan Penerangan untuk memudahkan pergerakan sepanjang tugasan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRU13 negeri di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Puan Azizah Awang dan Presiden Kawat, Encik Ayob mamat. Menurut Dato’ Ibrahim, dengan adanya pas akreditasi untuk media asing (warna merah) itu akan memudahkan mereka membuat liputan dan akses ke majlis dan acara rasmi sepanjang PRU13.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pas akreditasi itu mereka hanya perlu melalui beberapa proses mudah di Jabatan Penerangan selain perlu memaklumkan kepada Wisma Putra (Kementerian Luar). “Pas media itu boleh disiapkan dalam tempoh dua hari dan dengan pas itu mereka boleh memohon mendapatkan pas khas media untuk liputan PRU13, daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau juga menjangkakan pertambahan ketara jumlah media asing pada PRU13 ini berbanding PRU sebelum ini berikutan keadaan proses pilihan raya yang lebih hangat serta menjadi perhatian dunia.

Selain itu, lebih 1,000 media tempatan memegang pas akreditasi itu di seluruh negara pada waktu biasa, berbanding tambahan kira-kira 450 pemegang pas berkenaan apabila musim PRU sebelum ini.

Dalam pada itu, Dato’ Ibrahim menasihati wartawan dan jurugambar tempatan agar berhati-hati ketika bertugas sepanjang PRU13 nanti berikutan pelbagai kemungkinan boleh terjadi akibat ketengangan antara penyokong parti-parti yang bertanding.