Halaman

01 April 2013

Umno lancar ceramah besar-besaran

Oleh: Gelombang biru

Jawatankuasa Penerangan Umno Terengganu giat melancarkan ceramah besar-besaran di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung program dan dasar kerajaan secara terperinci.

Ketuanya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penceramah berkenaan menyalurkan maklumat semasa mengenai bantuan dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN bagi membantu rakyat tempatan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa yang sama penceramah Umno turut menjelaskan isu-isu semasa kepada seluruh rakyat Terengganu agar mereka tidak dikelirukan dengan fakta-fakta tidak tepat seperti ditimbulkan parti pembangkang dalam ceramah mereka,” tambahnya .

Sebelum ini, semua peti undi diarah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, termasuk menyediakan bilik gerakan dan petugas dalam semua aspek, bagi memastikan kemenangan BN.

 “Umno negeri mengarahkan semua peti undi melantik petugas bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan dan pengundi luar,” katanya.

 Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberitahu, pihaknya yakin dengan persiapan yang teliti itu BN berpeluang untuk mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini, termasuk daripada generasi muda.

 Umno dan BN Terengganu telah melakukan segala-galanya untuk kesejahteraan rakyat tempatan meliputi semua bidang.

 “Kita harap rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. “Kerajaan juga berharap golongan muda menyokong kerajaan kerana kita telah menyediakan segala kemudahan dan keperluan mereka,” ujar beliau.