Halaman

11 May 2013

BERPADULAH KITA...SELEPAS PRU 13

Oleh: Ruslan Rahman 

Setelah terbentuknya kerajaan selepas pilihan raya umum ke 13, kita sewajarnya memberi tumpuan ke arah membentuk negara dan negeri yang cemerlang dan gemilang.

Kita lupakan segala sengketa dan kurangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan titik-bengit yang tidak menguntungkan.

Marilah kita hidup dengan cara muafakat dan kerjasama, hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. 

Kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.

Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu.

Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa.

Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka.

Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti.

Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan.

Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan dan perbezaan fahaman politik kepartian.

Pupuklah semangat bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran.

Pihak kepimpinan di kampung-kampung seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka.

Semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain.

Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati.

Tegasnya semangat bekerjasama penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara dan negeri ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat.

Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan.

Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati dengan penuh bermakna.

Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat, seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak, pantai, kawasan kubur dan sebagainya.

Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat .

Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara .

Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah.

Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama.

Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dan sebagainya.

Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

Guru-guru sebagai pendidik hendaklah menjauhi dari membentuk pemikiran pelajar dengan jiwa penentangan tetapi semailah jiwa mereka dengan patriotik dan cintakan negara.

Sama-samalah kita membina negeri dan negara kita.

Jangan dihancurkan dengan sentimen politik kepartian semasa pilihan raya, tetapi jadikanlah demokrasi sebagai jalan untuk kebaikan bukan untuk kehancuran.

Bawalah kebaikan dan hargailah keamanan yang sedang kita nikmati.

Berjuanglah untuk membuat orang gembira dan jangan berjuang untuk membuat orang derita.

Negeri dan negara kita, tanggungjawab kita bersama.