Halaman

14 May 2013

Cabaran tiga wakil rakyat Hulu Terengganu jadikan Terengganu maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Kepercayaan pucuk pimpinan memilih tiga wakil rakyat dari Hulu Terengganu menerajui barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) merupakan satu penghargaan dan cabaran kepada wakil rakyat dari parlimen itu untuk bekerja keras memajukan negeri, kata Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang turut dilantik sebagai Exco Perindustrian dan Perdagangan, di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, baru-baru ini.


Selain Dato’ Tengku Putera, dua lagi ialah Adun Telemong, YB Haji Rozi Mamat (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia) serta Adun Ajil, YB Ghazali Taib (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas).

 “Dalam usaha mencapai status negeri maju 2020 tidak lama lagi, apa yang paling utama dan terpenting adalah perlunya kerja berpasukan dan lebih dinamik, selain mendapat nasihat dari pasukan khas yang mungkin dibentuk menerusi gabungan pakar-pakar di bidang tertentu untuk memajukan semua sektor dalam negeri.

 “Ia juga sejajar dengan titah Tuanku Sultan dan harapan YAB Menteri Besar supaya kita mendapat sokongan lebih padu dari semua pihak termasuk dari pakar tertentu, pegawai kerajaan dan juga seluruh rakyat,” katanya.

Secara peribadi, beliau turut memohon pandangan, nasihat dan kerjasama kukuh dari pihak di luar bidang politik bagi memberi sumbangan ke arah menggembleng usaha dengan cepat dan tepat untuk memastikan Terengganu muncul negeri maju pada 2020.

Katanya, selaku Exco yang bertindak sebagai jawatankuasa pemandu sebelum menyerahkan sebarang keputusan kepada kerajaan negeri, pihaknya akan menggabungkan panduan oleh pakar-pakar dan sumber yang terdapat dalam negeri serta gandingan kerjasama erat kerajaan negeri dengan Pusat, di samping pengkhususan kemahiran untuk rakyat dalam setiap pelaksanaan pentadbiran negeri.

Dari aspek portfolio beliau, Dato’ Tengku Putera berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak industri yang mampu menjana peluang pekerjaan sekaligus mengelak penghijrahan anak muda ke luar Terengganu dalam usaha golongan itu mendapat pekerjaan yang sesuai.

 “Dalam pilihan raya umum lepas, ramai pengundi luar dari Besut hingga Kemaman yang bekerja di luar Terengganu. Oleh itu kita perlu mencari pendekatan terbaik untuk menggembleng industri di negeri ini supaya lebih banyak mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pada masa yang sama, kita juga harus menambah nilai perdagangan sama ada di bidang pelancongan, barangan dan peruncitan supaya sektor itu aktif dan lebih dinamik yang membolehkan berlakunya pergerakan ekonomi serta menyumbang manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, secara prinsipnya setiap hasrat dan perancangan berkenaan akan diusulkan kepada pucuk pimpinan dan mesyuarat Exco supaya hala tuju dan kehendak berkenaan mampu memberi kesan bagi meningkat taraf hidup, kemajuan ekonomi serta pertumbuhan masyarakat luar bandar.

Dato’ Tengku Putera juga yakin dengan kemudahan infrastruktur yang serba moden dan bertaraf antarabangsa seperti Lebuh Raya Pantai Timur, pelabuhan serta lapangan terbang, selain sumber alam semula jadi dan tenaga manusia yang mencukupi menjadi faktor tarikan lebih ramai pelabur ke negeri ini yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi lebih baik di masa depan.


No comments: