Halaman

09 May 2013

Dato' Seri Ahmad Said kekal Menteri Besar Terengganu


Dato'Seri Ahmad Said mengadakan sidang akhbar dikediaman Menteri Besar selepas menyerahkan watikah perlantikan kepada Sultan Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Teka teki siapa menerajui Kerajaan Terengganu terjawab hari ini apabila penyandang Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilantik semula sebagai Menteri Besar Terangganu untuk penggal kedua.

Beliau yang menerima watikah perlantikan dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyerahkan watikah berkenaan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah, Kuala Terengganu, kira-kira jam 3 petang ini.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (adun) Kijal menghadap Sultan Terengganu kira-kira jam 2.45 petang tanpa ditemani pegawai kanan kerajaan negeri atau Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bercakap kepada media di kediaman rasmi Menteri Besar selepas itu, Dato' Seri Ahmad berkata, majlis angkat sumpah jawatan dijangka diadakan dalam sehari dua ini selepas mendapat perkenan dan ketetapan tarikh rasmi dari Sultan Terengganu.

Beliau turut membayangkan majlis angkat sumpah berkenaan akan dilakukan serentak dengan perlantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Dengan perlantikan semula Dato' Seri Haji Ahmad sebagai Menteri Besar, spekulasi yang bertiup kencang di negeri ini mengenai siapa bakal Menteri Besar terjawab selepas isu berkenaan diperkatakan oleh rakyat negeri ini.

Sejak itu, pelbagai isu timbul kerana dikatakan pengumuman Menteri Besar Terengganu dikatakan agak lewat.

Bagaimanapun, Dato' Seri Haji Ahmad berkata masih ada negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN) yang belum melantik Menteri Besar termasuk, Negeri Sembilan,Pahang dan Johor.

Ditanya mengenai kemerosotan prestasi calon BN negeri ini beliau berkata, perkara itu berlaku di seluruh negara kerana kurangnya sokongan orang muda serta kaum Cina.

“Selepas ini kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menarik semula sokongan golongan berkenaan kepada BN,” katanya.