Halaman

03 May 2013

Galas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun sibuk

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan tempoh berkempen berbaki dua hari lagi, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh masih menggalas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun jadualnya padat dengan pelbagai program.



Bergelar ahli politik tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk menyempurnakan niat pasangan yang ingin mendirikan masjid mengikut syarat yang ditetapkan Islam.

Disaksikan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, Mohd Hanafi Yaacob, 25, sah menjadi suami kepada Farah Nadia Usof, 23, dengan sekali lafaz dan mas kahwin berjumlah RM100 di hadapan juru nikah bertauliah seluruh negeri Terengganu itu.

 Haji Muhammad Ramli berkata, pasangan tersebut telah mendapat kelulusan pada 5 Februari lalu dan mengambil keputusan untuk menetapkan tarikh pernikahan pada 2 Mei 2013.

"Mereka merupakan pasangan keempat tahun ini dinikahkan oleh saya dan apa yang uniknya tarikh tersebut jatuh dalam tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ia menimbulkan satu kelainan berbanding hari-hari biasa.

"Ia boleh dikatakan sebagai kempen tambahan atau satu tugasan yang cukup istimewa kerana kebiasaannya pada musim begini calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya lebih memenuhi jemputan perkahwinan tetapi saya berpeluang menikahkan pasangan pengantin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada majlis pernikahan Farah Nadia yang merupakan anak perempuan kepada pasangan Yusof Bakar dan Nik Jah Nik Husin bertempat di kediaman mereka di Taman Perumahan Wakaf Tengah, malam tadi.

Tambah Haji Muhammad Ramli, ini merupakan sumbangan beliau kepada rakyat yang mana majlis akad nikah tidak dikenakan sebarang bayaran dan pendaftaran nikah juga ditanggung oleh beliau atas dasar khidmat wakil rakyat kepada rakyat.

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat lebih 100 pasangan telah beliau nikahkan dan tahun lepas sahaja 21 pasangan telah sah bergelar suami isteri.

"Terdapat pasangan yang saya nikahkan terdiri daripada pembangkang sama ada sebelah keluarga perempuan atau lelaki tetapi itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana mereka dapat menerimanya,” ujarnya.

Katanya, beliau nikahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga bertujuan memberi khidmat kepada rakyat dan bukan menjadikan tugasan tersebut sebagai satu kaedah untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

 



No comments: