Halaman

16 May 2013

Gandingan mantap anak Terengganu perkasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan dua anak Terengganu menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi mesej jelas mengenai kepercayaan pucuk pimpinan Pusat terhadap kemampuan pemimpin negeri ini bagi memperkasakan lagi bidang berkenaan pada masa kini dan masa depan.

Dua wakil rakyat berkenaan, Ahli Parlimen Kemaman, Dato’Seri Ahmad Shabery Cheek, dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, manakala timbalannya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong, berkata seluruh rakyat ternanti-nantikan barisan Ahli Parlimen dari Terengganu untuk disenaraikan dalam kabinet transformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semalam.


“Alhamdulillah, dua Ahli Parlimen Terengganu mendapat kepercayaan dan pengiktirafan cukup tinggi oleh  pucuk pimpinan untuk menerajui bidang komunikasi dan multimedia negara kita di mana ia merupakan sektor yang terpenting dalam dunia yang semakin mencabar serta tanpa sempadan kini.

 “Kita yang berada di peringkat negeri pastinya gembira dan teruja malah akan sentiasa menyokong usaha kementerian itu dalam memantapkan industri komunikasi dan multimedia tempatan setanding dengan perkembangan antarabangsa," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kelab wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat turut gembira dengn pelantikan itu, bukan sahaja dalam konteks politik negeri, malah dalam konteks kepentingan media di Terengganu.

Katanya, Kawat bersedia untuk memberi komitmen tidak berbelah-bahagi dalam setiap perancangan dan pelaksanaan gerak-kerja bagi memperkukuhkan bidang itu di negeri dan negara ini, amnya.

“Industri komunikasi dan multimedia mempunyai skop yang cukup luas dan mencabar yang pastinya harus diterajui oleh pakar dan individu yang berpengalaman dan teknorat di lapangan itu.

 “Pelantikan dua pemimpin dari Terengganu ini membuktikan satu pilihan yang tepat oleh Perdana Menteri dalam hasrat kita menjana kemajuan dan pembangunan sistem komunikasi dan juga multimedia termasuk skop-skop yang berkaitannya, tidak terkecuali bidang kewartawanan tu sendiri,” katanya.

Beliau menyifatkan Dato’ Ahmad Shabery seorang menteri yang pernah menerajui Kementerian Penerangan pada 2008, mudah didekati dan sudah biasa dengan pengamal media di Terengganu khususnya Kawat, malah hubungan baik yang sedia terjalin itu pasti mampu menyuntik dimensi baru yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

 

No comments: