Halaman

03 May 2013

Idris yakin BN menang besar di Parlimen Besut


Idris Jusoh bersalaman dengan veteran Umno Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Parlimen Besut yang dilebelkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) bakal menyaksikan calon muda pembangkang dari PAS kecundang pada pilihan raya umum PRU13 Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang melihat penyokong BN di parlimen itu mempunyai semangat tinggi terutama menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya kali ini.

Katanya, penyertaan ramai penyokong Pas di Besut yang berpaling tadah dan kini menyertai Umno faktor utama kemenangan berpihak kepada calon BN selain pelbagai isu yang dihadapi parti pembangkang itu.

Idris yang juga bekas Menteri Besar yang berjaya menumbangkan pemerintahan Pas pada 2004 berkata berdasarkan sokongan rakyat terhadap BN Perlimen Besut akan menang 5-0 pada PRU13 ini.

“Pas tidak kuat sebagaimana digambarkan oleh pembangkang sebaliknya kesetiaan ahli Umno terhadap parti serta semangat kental mempertahankan pemerintahan BN menyebabkan penyokong akan mengundi calon BN,” katanya selepas menemui veteran Umno di Kampung Gong Nering, dekat sini hari ini.

Idris berkata, PRU13 menarik perhatian apabila ramai bekas pemimpin parti di Terengganu termasuk yang pernah memegang jawatan menteri dan ahli exco turut turun padang membantu jentera Umno.

Menurutnya, kehadiran tokoh veteran Umno membantu jentera parti mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengingatkan pengundi supaya berhati-hati dengan taktik terakhir yang akan dilakukan oleh pihak pembangkang menjelang hari pembuangan undi kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan.


No comments: