Halaman

04 May 2013

Kerajaan BN prihatin terhadap rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Selepas sekian lama mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa berusaha memenuhi kehendak dan keperluan rakyatnya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang terkecuali menerima kebaikan dari Kerajaan BN dan Umno.

“Pelbagai bantuan dan sumbangan yang disalurkan Kerajaan BN dan Umno samada dari kerajaan pusat atau negeri untuk meringankan beban rakyat.

“Kerajaan bagi macam-macam termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan,bantuan mangsa banjir, e-book dan sebagainya untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama jentera pilihan raya Kuala Nerus sempena lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus bertempat di Pejabat Umno Bahagian, baru-baru ini.

Katanya, sebagai tanda terima kasih kepada Kerajaan BN dan Umno yang telah memberikan khidmat terbaik kepada mereka, rakyat negeri ini khususnya dan negara amnya hendaklah memilih calon BN pada hari pembuangan undi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada jentera pilihan raya BN agar mengingatkan mereka yang layak mengundi bertapa besarnya jasa, khidmat dan bakti yang telah diberikan BN terhadap rakyat selama ini.




No comments: