Halaman

02 May 2013

Kerajaan BN tidak tolak Islam dalam pentadbiran

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menolak Islam dalam pentadbiran negara, malah semangat kebangsaan Umno adalah berteraskan Islam.

 "Kebangsaan kita bukan assabiyah. Makna assabiyah itu ialah bila kita berpakat melakukan kerja-kerja yang batil, maknanya berpakat antara satu puak untuk menindas atau menzalimi puak lain, itu assabiyah," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 6,000 hadirin di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot di Kuala Terengganu, petang semalam.

 Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal dan beberapa calon Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Presiden Umno, sebelum itu mempersoal kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala kerana menolak Islam dan berjuang atas semangat kebangsaan.

"Saya nak tanya Nik Aziz, pahala dosa itu kuasa Mursyidul Am atau kuasa Allah? "Saya percaya ini bukan bidang kuasa manusia, bukan kuasa Mursyidul Am, malah Nabi, Rasul pun tak berani...ini kuasa Allah, itupun dia nak ambil...ini semua kerana politik," katanya.

 Nik Aziz baru-baru ini menggunakan statusnya untuk mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan Umno bersandarkan assabiyah atau perkauman.

Menteri Besar Kelantan itu mendakwa kerana menganut fahaman ini, maka Umno telah menolak Allah.

Menjelas lanjut isu itu, Najib berkata perjuangan kebangsaan Umno telah membebaskan Malaysia daripada dijajah dan dizalimi oleh British. Umno hari ini berjuang atas dasar "maqasid syariah", dan ia diakui ulama antarabangsa sebagai antara negara terbaik daripada aspek pematuhan konsep tersebut, katanya.

 "Apabila dikatakan kita patuh pada maqasid syariah, maknanya kita mempertahankan agama, mempertahankan kalimah Allah.

 "Jadi siapa yang cakap berdolak dalih sekarang...ini semua pasal politik, nak cari undi," tempelak Najib.