Halaman

04 May 2013

Kolej Matrikulsi dan Sekolah Imtiaz jika Marang milik BN

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Kolej Matrikulasi dan sebuah Sekolah Menengah Imtias akan dibangunkan di daerah Marang jika Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih empat kawasan Dewan Negeri (DUN) dan Parlimen Marang.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan RM60 juta telah disediakan untuk membina Sekolah Imtiaz manakala peruntukan untuk Kolej Matrikulasi dalam perbincangan.

“Demi masa depan pendidikan anak bangsa kita, demi kesinambungan sebuah perjuangan pastikan esok (5 Mei) undilah calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Bukit Payong, Marang.

Perasmian SMK Seri Payong telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Rosli Mohamad serta calon-calon BN dalam Parlimen Marang iaitu Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad (Parlimen), Haji Alias Abdullah (Alor Limbat), Encik Zaidi Muda (Bukit Payong) Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Encik Abdul Latif Awang (Rhu Rendang).

Katanya, menjadi cita-cita kerajaan negeri dengan adanya sekolah Imtiaz disetiap daerah, dan Institut Al-Quran Terengganu (IQT) yang akan dinaik taraf kepada Kolej Universiti juga Institut Pendidikan Islam akan mampu melahirkan 1,000 orang hafiz dan hafizah setiap tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini 37 orang pelajar dari sekolah Imtiaz telah hafiz 30 juzu’ al-Quran dan mereka ini juga mendapat semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kerajaan mempunyai matlamat bahawa anak Terengganu yang cemerlang dalam pendidikan akan menjadi seorang doktor dan saintis yang serba boleh suatu hari nanti.

Justeru itu katanya, rakyat perlu memilih BN untuk terus menerajui negeri dan negara ini demi kesinambungan memertabatkan bidang pendidikan serta masa hadapan generasi yang lebih gemilang.

“Dengan perasaan rendah diri saya merayu kepada rakyat yang banyak mendapat nikmat kerajaan kini sudah sampai masa buktikan sebagai seorang yang mengenang budi, setia kepada kepada kerajaan sedia ada dan undi BN,” katanya.