Halaman

16 May 2013

Lantikan dua menteri penuh dan timbalan menteri, satu penghargaan besar

Oleh: Suriati Ali

 Kesudian Kerajaan Pusat melantik dua menteri dan satu timbalan dari Terengganu dianggap penghormatan dan penghargaan cukup besar kerana mampu memperkukuhkan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia bersyukur ke hadrat Allah SWT dan mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi penghormatan dan kepercayaan kepada tiga Ahli Parlimen Terengganu. 

Katanya, pelantikan Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia serta timbalannya Dato’ Jailani Johari turut mampu memantapkan lagi barisan Kabinet kerajaan pusat yang diterajui Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Pelantikan Dato’ Seri Idris Jusoh diharap dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan bukan sahaja di Terengganu malah seluruh negara,” katanya .

 Menurutnya, pencapaian cemerlang Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu boleh menjadi contoh kepada negeri lain kerana beliau mempunyai pandangan yang hebat dalam bidang itu.

 Dato’ Seri Haji Idris merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) (mulai 2008) dan pernah memegang jawatan Menteri Besar Terengganu (2004-2008) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999).

 Dato’ Seri Ahmad Shabery pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan pada Mac 2008 hingga April 2009 sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Dato’ Jailani yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri dan Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

 Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menafikan terdapat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai pembangkang.

 Beliau berkata 17 Adun tetap kekal bersama BN dan akan memfokuskan kepada usaha menabur khidmat kepada rakyat berteraskan kepada `Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.



No comments: