Halaman

19 May 2013

LKIM perlu peruntukan RM350 juta kerja naik taraf pelabuhan Chendering

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu memerlukan peruntukan kira-kira RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan di Pelabuhan Perikanan Chendering khususnya tambahan pembinaan tembok pemecah ombak bagi memastikan keselamatan nelayan terjamin.

Pengarahnya, Haji Mohd Saffe Mohd, berkata kerja itu perlu dilaksanakan segera memandangkan tembok sedia ada yang dibina sejak 20 tahun lalu tidak cukup tinggi bagi menahan ombak memasuki kawasan pendaratan bot.


"Tembok sedia ada iaitu sepanjang 400 meter tidak selamat dan perlu dibaiki segera kerana kita tidak mahu insiden bot pecah seperti tahun lalu berulang kembali.

 “Keadaan menjadi lebih berbahaya pada musim tengkujuh kerana hempasan ombak kuat yang menyebabkan banyak bot rosak akibat berlanggar sesama sendiri,"katanya selepas majlis penyampaian sumbangan jaket keselamatan oleh Kumpulan AmBank kepada Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, baru-baru ini.

Selain tambahan benteng, kerja mendalamkan perairan di sekitar pelabuhan juga perlu bagi membolehkan bot nelayan masuk dengan selamat di perairan berkenaan.

"Terdapat kira-kira 120 bot nelayan kecil dan laut dalam yang menggunakan kemudahan di sini untuk mendapatkan bekalan diesel mahupun mendaratkan hasil tangkapan.

 "Kedalaman air yang selamat untuk bot masuk mendarat sekurang-kurangnya tujuh meter. Oleh itu kerja menggali perlu dilakukan dalam masa terdekat sebelum perairan bertambah cetek disebabkan hakisan ombak,"katanya.

Haji Mohd Saffe berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui kerajaan negeri beberapa tahun lalu, namun masih belum menerima jawapan.

"Kita sudah kemukakan permohonan ini sejak lima tahun lalu dan terakhir tahun lalu melalui kerajaan negeri. Kita harap kabinet baru ini akan mempertimbangkan permohonan kami,"katanya.

Selain Chendering, Terengganu mempunyai lima pelabuhan perikanan lain termasuk di Besut, Pulau Kambing, Marang, Dungun dan Kemaman.


No comments: