Halaman

03 May 2013

Matulidi yakin menang DUN Paka

Calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Datuk Matulidi Jusoh yakin dapat mempertahankan kemenangan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini berikutan sokongan yang diterima rakyat di kawasan terbabit.

Beliau berkata, biarpun pada pilihan raya lalu beliau menang di kerusi Parlimen Dungun namun pertukaran kerusi di kawasan DUN Paka tidak menjadi halangan kepadanya memandangkan sepanjang tempoh itu beliau telah dikenali pengundi di kawasan Paka.

 “Sepanjang penggal lalu menjadi Ahli Parlimen, saya sentiasa bersama masyarakat dan pimpinan masyarakat di Paka termasuk membantu apa saja kemahuan mereka tambahan pula saya juga bertindak sebagai Pengerusi Penyelaras di Dun terbabit,” katanya.

Katanya, bagi pengundi di kawasan Paka mereka juga sebelum ini telah mendapat kerjasama erat yang diberikan wakil rakyat BN sebelum ini yang dipimpin Zakaria Ariffin Abdullah.

 “Saya rasa tiada masalah di kawasan Paka kerana segala permintaan penduduk dan pimpinan masyarakat mendapat apa yang mereka mahukan di kawasan itu,” ujar beliau.

Katanya, matan wakil rakyat kawasan itu telah menjalankan tugasnya dengan baik dengan menyediakan lebih RM10 juta untuk membina sistem peparitan dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah banjir yang melanda beberapa buah kampung di situ.

 Matulidi berkata, selain itu, sebanyak 200 buah rumah mampu milik di Kampung Telaga Emas telah siap dibina dan menanti masa untuk diserahkan kepada penduduk.

 “Banyak lagi kejayaan yang BN buat di Paka dan semua itu telah berjaya diselesaikan dan saya mendapati tiada sebarang sebab rakyat di Paka akan menolak BN,”katanya.

Katanya, sepanjang berkempen di kawasan Paka beliau gembira apabila mendapat sokongan daripada pengundi termasuk pengundi yang cenderung kepada Pas yang banyak menyatakan mereka sudah mula jemu dengan pimpinan mereka.

 “Saya percaya kedatangan saya di sini boleh memberi kemenangan kepada BN sambil berharap agar rakyat Paka memberi kemenangan kepada BN sekiranya ingin terus melihat kemajuan di kawasan Paka,”katanya.