Halaman

04 May 2013

MB cabar Pas buktikan janji sedia 17,000 pekerjaan

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mencabar pembangkang, khususnya Pas membuktikan bagaimana mereka boleh menunaikan janji untuk menyediakan 17,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun jika diberi peluang memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau mengajukan soalan pelabur dari mana yang mahu melabur di negeri ini dan menyediakan peluang pekerjaan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat itu.

“Kilang apa yang orang Pas nak bina bagi menyediakan pekerjaan tersebut? Setahu saya untuk bina sebuah kilang sekurang-kurangnya ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk siap.

“Jika peluang pekerjaan itu mahu disediakan, sudah tentu banyak kilang yang perlu dibina dan ia amat mustahil untuk dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Pas sebelum ini dalam manifestonya berjanji akan menyediakan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu jika diberi mandat memerintah negeri ini selepas pilihan raya 5 Mei depan.

 Menteri Besar turut mempersoalkan negara mana yang sudah dikunjungi oleh pemimpin Pas untuk meminta pelabur datang melabur di Terengganu setakat ini.

Katanya, jika Pas tidak melakukan sebarang langkah bagi menarik pelabur, ia bermakna mereka tidak akan mampu melaksanakannya.