Halaman

12 May 2013

Muka baru berazam laksana tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali

Tiga muka baru yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu berazam akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin mengikut keperluan portfolio masing-masing sekali gus meletakkan Terengganu sebagai negeri membangun dan maju.

 Kepercayaan pucuk pimpin negeri tidak akan disia-siakan dengan meneruskan perjuangan serta agenda kerajaan supaya apa yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, A. Latif Awang menyifatkan pelantikan beliau merupakan mandat kepimpinan kerajaan supaya dapat menabur bakti kepada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

 "Ini juga bagi memenuhi agenda yang dijanjikan sebagai manifesto kerajaan negeri selain untuk meneruskan manifesto Kerajaan Pusat supaya rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan.

"Saya juga dapati Terengganu mempunyai terlalu banyak potensi dan kelebihan yang perlu kita bangunkan termasuk dalam bidang ekonomi, sumber manusia, pembangunan sosial selain meningkatkan fasiliti demi kepentingan rakyat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Rakyat (Adun) Pengkalan Berangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, beliau yakin berupaya membangunkan lagi bidang pendidikan di negeri ini berdasarkan strategi serta perancangan yang bakal dilaksanakan.

 "Kalau (bidang) pelajaran, memang bidang saya, 26 tahun (pengalaman) saya dalam bidang pendidikan, termasuk di peringkat pengajian tinggi pun saya terlibat dalam pelajaran.

 "Menteri Besar sudah maklumkan saya perlu bina satu pasukan sebagai penasihat bagi melaksanakan kerja saya dalam bidang pendidikan serta lain-lain bidang berkaitan," jelasnya.

 Ditanya mengenai persediaan beliau melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal agama yang diserap di bawah tugas-tugas khas, Ghazali berkata, setakat ini, beliau sedang merangka pasukan yang dianggotai tokoh-tokoh agama sebagai panduan.

 Bagi Adun Bukit Besi, Roslee Daud pula, beliau berjanji akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

 Roslee dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri.

"Saya berterima kasih kepada penyokong dan pucuk pimpinan BN kerana meletakkan saya bertanding di kerusi DUN Bukit Besi dan seterusnya membawa kemenangan kepada BN.

 "Sehubungan itu, apabila disenaraikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, saya akan cuba sedaya upaya mengambil tanggungjawab yang telah diamanahkan ini," katanya.

 Roslee memenangi kerusi DUN Bukit Besi dalam PRU-13 selepas menewaskan calon Pas, Roslan Ismail dengan majoriti 2,558 undi.