Halaman

13 May 2013

Peluang YB pembangkang berkhidmat untuk rakyat

Oleh: Sutera Biru

Kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said untuk tidak meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) di DUN pembangkang, menimbulkan reaksi dan kejutan ramai termasuk di kalangan pemimpin Pas.

Ramai yang menjadi keliru dan kurang faham, sehingga mengganggap Menteri Besar mahu menidakkkan kepentingan dan mengabaikan seluruh rakyat di kawasan pembangkang termasuk yang menyokong Barisan Nasional (BN), sedangkan hanya jawatan PPD serta Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) sahaja yang tidak diwujudkan setakat ini.

Wakil rakyat Pas, seperti Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Ariffin Deraman kecewa dengan keputusan itu sambil menyifatkan Dato’ Seri Haji Ahmad sangat beremosi sehingga bertindak demikian.


Malah, mereka juga menuntut supaya Menteri Besar lebih rasional dan bertanggungjawab sebagai seorang pemimpin walaupun berbeza pendapat (fahaman politik).

Dari aspek lain, mereka mahukan Dato’ Seri Haji Ahmad lebih rasional, sedangkan majoriti rakyat yang memenangkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu pastinya mahukan perkhidmatan dari `Yang Berhormat’ (YB) dan `Yang Berkhidmat’ berkenaan.

Adun Pas dan pakatan rakyat turut mendapat gaji dan elaun sebagaimana Adun BN, oleh itu wajarlah mereka berkhidmat sebagai membalas mandat rakyat yang sudah menyokong mereka sehingga menjadi wakil rakyat.

Malah, Ariffin dalam sidang akhbarnya sebelum ini meminta supaya peruntukan kepada Adun sepatutnya diberi kepada wakil rakyat Pas sepertimana yang disalur kepada PPD sebelum ini.

Pada masa yang sama, pimpinan Pas itu seakan tidak sedar dan tidak pula membaca sejarah terdahulu, bahawa ketika Pas memerintah Terengganu (1999-2004) juga tidak menyalurkan peruntukan itu kepada wakil rakyat BN.

Bukan sahaja di Terengganu, di negeri pimpinan Pas yang lain seperti Kedah dan Kelantan sebelum ini juga tidak disediakan sebarang peruntukan kepada Adun BN.

 "Bukanlah bermakna kami akan mengabaikan rakyat cuma kami akan gunakan kaedah pendekatan lain untuk membantu rakyat seperti melalui pemimpin setempat, pegawai daerah dan agensi kerajaan yang lain. 

"Agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan diteruskan kerana kita mahu semua rakyat menerima limpahan hasil kemajuan Terengganu yang semakin pesat untuk tempoh beberapa tahun akan datang dengan kualiti perkhidmatan awam yang terbaik," kata Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Bagaimanapun, di sidang akhbar itu juga, Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu bahawa kerajaan negeri belum memuktamadkan keputusan sama ada tidak meneruskan PPD dan PPP itu pada masa depan.

 “Jika kerajaan tidak mahu mewujudkan jawatan itu, kita ada kaedah dan saluran lain yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab termasuk melalui agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 “Apabila difikirkan balik, ia tidak adil bagi kerajaan, kita yang bersusah payah mewujudkan pembangunan, menjaga kebajikan dan merencanakan pendidikan, wakil rakyat Pas hanya makan gaji, sepatutnya mereka yang pikul tanggungjawab itu, sebab rakyat sudah memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Contoh yang jelas sebelum ini juga boleh dilihat di DUN Rhu Rendang, Manir dan Wakaf Mempelam, apabila tiada pembangunan dan kebajikan dilaksanakan oleh wakil rakyat Pas, sedangkan mereka dibayar gaji.

Ramai rakyat di kawasan berkenaan walaupun dari penyokong Pas sendiri mengadu pada wakil PPD dan bukan kepada wakil rakyat Pas yang dipilih majoriti pengundi kawasan terbabit.

Sebagai wakil rakyat, walaupun dari Pas yang dibayar gaji dengan duit rakyat ini perlu melaksanakan tanggungjawab yang diberi bukan meletakkan tanggungjawab seratus peratus kepada YB BN, sedangkan mereka hanya pandai bercakap dan berceramah semata-mata.

Rakyat sudahpun memilih YB di kalangan Pas dan rakyat sudah tentu mahu melihat YB berkenaan memainkan peranan yang lebih untuk membantu rakyat di kawasan mereka sebagai memberi ruang kepada semua wakil rakyat berkenaan melaksanakan tugas di DUN masing-masing.

Dari situ rakyat dapat menilai sendiri keupayaan dan prestasi wakil rakyat pilihan mereka sama ada dapat menunaikan janji dan amanah sebagai YB.

Berhubung keputusan kerajaan negeri yang tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan pembangkang, perkara itu harus diterima secara terbuka oleh semua pihak memandangkan itu janji yang diuar-uarkan Menteri Besar sebelum PRU13 lagi.

 “Saya berjanji untuk menyediakan 1,000 rumah mampu milik di DUN Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Rhu Rendang, sekiranya BN berjaya mendapat mandat rakyat di kawasan itu. Begitu juga di kawasan pembangkang yang lain. Itu semua kita akan laksanakan sekiranya kita berjaya menawan semula semua DUN itu pada PRU13 nanti,” katanya dalam beberapa ucapan sebelum ini.

Walaupun BN kalah di 15 kawasan DUN, tetapi Aku Janji Tambahan BN Terengganu tetap dijalankan di negeri ini untuk kesinambungan kesejahteraan rakyat dan menjadikan Terengganu maju pada 2020.


No comments: