Halaman

09 May 2013

Pendawaian lama punca kebakaran

Kebanyakan kes kebakaran yang berlaku di negeri ini berpunca daripada elektrik berikutan pendawaian tidak ditukar walaupun telah melebihi 10 tahun, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Encik Md Salleh Sarbini.

Beliau berkata selain elektrik, kebakaran juga berpunca daripada puntung rokok yang dibuang merata-rata dan kecuaian ketika memasak di dapur.


"Mengikut rekod kebanyakan kebakaran berlaku berpunca daripada elektrik apabila kebanyakan pendawaian elektrik yang melebihi 10 tahun tidak ditukar," katanya ketika merasmikan perbarisan sempena sambutan Hari Bomba Sedunia, semalam.

Katanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, harta benda bernilai RM95,565,540 berjaya diselamatkan membabitkan 788 kejadian kebakaran manakala harta benda bernilai RM47,172,117 musnah.

Encik Md Salleh berkata sebanyak 60 kejadian kebakaran berlaku bagi tempoh pilihan raya umum ke-13 iaitu dari 20 April hingga semalam.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak empat kejadian kebakaran melibatkan bangunan, tiga kenderaan, masing-masing dua kejadian kebakaran perkakasan dan stor manakala selebihnya kebakaran belukar dan sampah sarap.

Beliau berkata, balai bomba baru akan dibina di Kampung Raja, Besut dan Kijal, Kemaman, masing-masing bernilai RM5 juta.

 Katanya pembinaan kedua-dua balai berkenaan pada awalnya dijadual dibina tahun hadapan tetapi dipercepatkan kepada tahun ini. Sempena sambutan Hari Bomba Sedunia itu pelbagai aktiviti diadakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu seperti program menderma darah dan gotong-royong membersih kawasan sekitar.


No comments: