Halaman

02 May 2013

Penduduk teruja masjid baru bakal dilengkapi penyaman udara


Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri akan memberi peruntukan tambahan untuk memasang penyaman udara bagi projek pembinaan masjid baru kampung Kebor Air di mana kerja-kerja tapak telah bermula 1 April lalu.

Pengumuman tersebut nyata mengembirakan penduduk tempatan yang hadir pada majlis perjumpaan Menteri Besar dengan penduduk Peti Undi Kampung Kebor Air, Kampung Banggol Peradong dan Kampung Kebor Besar di Kampung Kebor Air sempena program lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini.

"Kita perlu menyemarakkan masjid sebaik mungkin dan alhamdulillah setakat ini masjid-masjid yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) tiada satu pun dipenuhi oleh bendera parti.

"Masjid adalah tempat beribadah dan bukannya tempat berpolitik seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, Imam Masjid kampung Kebor Air, Ustaz Awi Salleh, 49, ketika ditemui menyifatkan pengumuman pemimpin pertama negeri itu sebagai hadiah berharga kepada penduduk setempat.

Katanya, beliau mewakili penduduk kampung Kebor Air mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah meluluskan penggantian masjid lama kampung Kebor Air yang berusia 87 tahun (sejak 1926) dengan masjid baru.

"Penduduk kampung berasa sangat teruja kerana Menteri Besar telah menambah peruntukan masjid ini dari RM4.5 juta kepada RM8 juta.

"Di samping itu, beliau juga turut mengumumkan dari segi kemudahan dalam masjid penyaman udara akan dipasang pada masjid baru yang dijangka siap 3 Ogos 2014 di tanah seluas tiga ekar,” jelasnya.

Katanya, apabila siapnya masjid baru itu nanti, dianggarkan dapat menampung 1000 jemaah pada satu-satu masa berbanding masjid lama yang hanya memuatkan 600 jemaah.

Justeru, penduduk Kampung Kebor Air diharap memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang memerintah sekarang bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan kepimpinan yang sedia ada memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

 

No comments: