Halaman

19 May 2013

Perkim kaji perlembagaan induk

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) akan mengkaji semula perlembagaan induk badan itu sejajar dengan perkembangan masa kini.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Mohd Nor berkata, sebuah jawatankuasa mengkaji pelembagaan itu telah dibentuk yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua , Dato’ Seri Shahidan Kassim.


 Katanya, jawatankuasa tersebut telah mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk membuat cadangan baru atau pindaan perlembagaan yang sedia ada selaras dengan perkembangan masa ini.

``Selain untuk mengemas kini perlembagaan dan peraturan, jawatankuasa tersebut turut membincangkan mengenai Perkim di Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perkim Bahagian Negeri Terengganu kali ke 23 di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Terengganu Dato’ Haji Ismail Yahya.

Menurut beliau, Perkim telah berusia 50 tahun dan pindaan perlembagaan yang sedia ada wajar dibuat berdasarkan keadaan semasa. Selain itu katanya, jawatankuasa tersebut turut meneliti peranan cawangan dan negeri Perkim serta konsep pembangunan atau harta yang ada.

“Ini adalah untuk membolehkan aset itu dapat digunakan sebaik mungkin kerana pada masa ini ada negeri-negeri mempunyai aset sumbangan daripada pelbagai pihak.

``Jawatankuasa akan memikirkan mekanisma baru supaya ia dapat digunakan yang sekaligus dapat meningkatkan lagi sumber pendapatan Perkim,’’

``Jika berkesempatan, kesemua pekara tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat agung Perkim Kebangsaan pada petengahan Jun ini jika tidak kemungkinan akan dibentangkan pada mesyurat agung khas bagi membicangkannya,’’ katanya.

 

No comments: