Halaman

08 May 2013

PR1M beri manfaat kepada pesakit

Oleh: Suriati Ali 

Penubuhan Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia (PR1M) di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Terengganu yang membabitkan kos kira-kira RM350,000 kini memberi manfaat kepada ramai penduduk setempat sejak dibuka awal tahun ini.

 PR1M yang memberi fokus terhadap pesakit strok itu merupakan pusat yang melibatkan peranan komuniti pertama di Semenanjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pusat yang akan menempatkan pakar fisioterapi bertauliah itu membantu merawat dan mencegah penyakit tersebut.

“Pusat yang beroperasi secara percuma untuk masyarakat setempat mula menerima pesakit sebaik segala kelengkapan sedia sepenuhnya awal tahun ini.

“Idea mewujudkan pusat rehabilitasi bermula apabila saya dapati hampir sebahagian besar penduduk yang saya lawati mengalami penyakit ini (strok) dan lebih menyedihkan ada antara mereka yang masih baru dan boleh dirawat, namun akibat tidak tahu penjagaan yang betul ia menjadi bertambah parah,” katanya.

 Dato’ Seri Haji Ahmad Razif berkata, selain khidmat fisioterapi, pusat berkenaan turut menyediakan khidmat rawatan dan latihan kepada pesakit serta waris mengenai penjagaan yang betul bagi pesakit strok agar mampu pulih kembali.

 “Kita harap dengan wujudnya pusat ini nanti mampu memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pesakit dan waris yang menjaga dengan harapan pesakit diberi rawatan menyeluruh,” katanya.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar menyifatkan penubuhan pusat berkenaan usaha murni yang wajar dikembangkan.

Katanya, inisiatif itu digerakkan melalui kerjasama pintar antara pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Seberang Takir.

"Langkah ini juga dapat menarik penglibatan para sukarelawan membantu sekali gus memperlihatkan tanggungjawab dalam aspek penjagaan kesihatan rakyat tidak terserah kepada kementerian semata-mata.

"Ini juga salah satu pendekatan Strategi Lautan Biru dan pihak jabatan akan membantu memberikan nasihat kepakaran dan penyelarasan operasi," katanya.

 

No comments: