Halaman

04 May 2013

PRU13: BN realisasi impian Kuala Nerus daerah baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) akan memastikan matlamat untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baharu di Terengganu menjadi realiti, jika mandat diberikan kepada Parlimen itu pada pilihan raya umum, esok.

Calon BN Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata sekiranya BN diberikan mandat, pihaknya berjanji untuk menjadikan harapan dan impian seluruh penduduk kawasan itu untuk melihat Parlimen berkenaan muncul sebagai daerah menjadi kenyataan selepas menunggu sekian lama.

"BN tidak pernah berjanji kosong, malah kita bertanggungjawab meneruskan agenda pembangunan negeri dan negara selaras dengan kemampuan yang ada bagi memenuhi keperluaan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Antara pembangunan dan transformasi telah dilakukan di situ contohnya kawasan Perindustrian Gong Badak, ia menampakkan usaha serta janji Kerajaan BN bagi memajukan lagi kawasan setempat,” katanya.

Dato’ Mohd Nasir selaku penyandang parlimen itu berkata, rakyat harus untuk merealisasikan impian tersebut, rakyat perlu menyokong BN dengan menterjemahkan sokongan itu dalam undian pada PRU13. 

Kuala Nerus merupakan satu daripada lapan kawasan Parlimen di Terengganu, ia di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu terletak kira-kira sembilan kilometer dari pusat bandar.

Terengganu mempunyai tujuh daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, beliau juga optimis Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Tunggal mampu dikemablikan kepada BN pada PRU13 nanti berdasarkan prestasi semasa yang banyak memihak kepada parti itu.

Katanya, pada pilihan raya lalu, DUN berkenaan hanya tewas dengan majoriti 336 undi dan berdasarkan pembangunan serta kebajikan yang dilaksanakan tanpa henti oleh Kerajaan BN walaupun berada di bawah Pas, pastinya rakyat akan tahu menilai kebaikan dan lebih cenderung untuk memihak kepada BN pada pilihan raya kali ini.