Halaman

01 May 2013

RELA sokong Kerajaan BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Anggota RELA menyambut baik dan berjanji terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah melaksanakan pelbagai transformasi bagi memperkasakan peranan pasukan keselamatan itu sejak empat tahun lalu.

Seorang anggota RELA dari Marang, Mohd Fahmie Mohd Yasin, 20, berkata dia berbangga dengan usaha kerajaan yang tidak meminggirkan peranan RELA yang sentiasa bersedia berkhidmat tanpa mengira masa dan ketika.

“Saya amat berminat melakukan kerja sukarelawan dan RELA menjadi platform terbaik untuk melaksanakan tugas itu, apatah lagi kerajaan menyediakan pelbagai insentif yang menambahkan semangat saya menyertai pasukan itu,” katanya.

Seorang lagi anggota RELA dari Kemaman, Mohamad Ismail, 36, turut menyokong penuh pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan lagi mutu dan prestasi perkhidmatan RELA di dalam masyarakat.

“Saya menyokong 250 peratus apa yang sudah dilaksanakan kerajaan hari ini. Inilah bukti pemimpin yang sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan rakyat serta pasukan keselamatan negara.

 “Komitmen kerajaan yang amat tinggi haruslah dibalas dengan perkhidmatan yang terbaik dan dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat,”katanya.

Sementara seorang anggota dari Pusat Latihan RELA Melaka, Nur Izwana Salamun, 28, juga mendukung hasrat kerajaan untuk melihat pasukan RELA lebih relevan dan sama penting dengan anggota keselamaan yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis.

“Walaupun hanya berkhidmat dalam pasukan pancaragam dan bukan bertugas luar seperti rakan RELA yang lain, sebagai anggota sukarelawan, saya tetap menyanjung tinggi setiap insentif dan galakan yang disediakan kerajaan.

 “Malah, jika perlu berkhidmat di mana sahaja, saya dan rakan sepasukan bersedia demi menzahirkan taat setia dan komitmen kepada kerajaan yang sudah banyak berjasa kepada kami semua anggota RELA,” katanya.