Halaman

21 May 2013

Rumah tradisional RM3 juta diubahsuai

Oleh; Esah Abdullah

Rumah Seni Bina Tradisional Terengganu di Losong Haji Su yang dibeli oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dengan harga kira-kira RM3 juta akan dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya pada 2016.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah (gambar kanan) berkata, rumah yang dibeli pada tahun 2011 itu masih lagi dalam peringkat kerja-kerja pemuliharaan,

`` Rumah tersebut sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu cengal, merupakan hasil ketukangan Melayu yang unik dan perlu dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini

“Rumah yang dibina dalam tahun 1850an itu juga memerlukan kerja-kerja pemuliharaan yang terliti untuk memastikan ciri-ciri tradisional itu kekal seperti sedia kala,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian . Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT)) di Losong, Kuala Terengganu.

Menurutnya, kawasan tersebut akan menjadi tumpuan ramai pada masa akan datang kerana Kampung Losong sendiri pada masa ini terkenal dengan perusahaan keropok.

Malah katanya, jika rumah tradisional itu siap dibaiki sepenuhnya, pelbagai aktiviti juga turut dirancang di kawasan berkenaan.