Halaman

20 May 2013

TERENGGANU DAN MALAYSIA SAMA SAMA DIJAYAKAN

OLEH: Ruslan Abdul Rahman

PELANTIKAN dua Menteri dari Terengganu dan seorang Timbalan Menteri dalam kabinet Malaysia telah memberi suatu pengharapan baru rakyat Terengganu untuk melihat pemimpin dari negeri ini diterima di peringkat nasional.

(dari kiri) DATO' Seri Haji Idris Jusoh. DATO' Seri Ahmad Shabery Cheek dan DATO' Jailani Johari.
Mereka ialah, mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh yang dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dan timbalannya Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari.

Harapan yang tinggi diletakkan kepada Dato’ Seri Haji Idris dan juga Dato’ Seri Ahmad Shabery oleh rakyat Terengganu ke arah menggerakkan kementerian mereka di peringkatkan pusat dengan cemerlang, di samping tidak lupa untuk membantu keutuhan Terengganu, negeri sendiri yang dibawah kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said.

Untuk melahirkan generasi muda yang progresif dan dinamik yang berpotensi menggerakkan insan menuju kejayaan, mereka perlu melalui proses tarbiyyah atau pendidikan yang cemerlang.

Pendidikan cemerlang ialah pendidikan yang tidak bersempadankan masa kini, tetapi persiapan generasi muda untuk masa hadapan.

Khalifah Umar Ibn Khattab dalam ucapannya menyatakan, “Ajarlah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu.”

Justeru, generasi muda tidak seharusnya dibelenggu dengan kaedah pendidikan dan cara-cara lama, tanpa melihat kesesuaiannya dengan zaman mereka sendiri, melainkan di dalam perkara yang tidak dapat dibuat ijtihad lagi.

Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua ini, atau selepas ini difahamkan akan dikenali sebagai Menteri Pelajaran Kedua diharap mampu membawa pembaharuan dan transformasi itu.

Pendekatan gagasan Ulul Albab yang banyak disebut di dalam Al Quran yang diperkenalkan selama ini pastinya akan diterapkan ke dalam roh pendidikan negara.

Ulul Albab bolehlah diertikan sebagai pengisian di dalam program pendidikan yang mengadunkan antara al-fikri dan al-zikri sehingga terbentuk kebijaksanaan.

“Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya ia dikurniakan kebaikan yang banyak dan tiada yang ingat yakni yang menghayati zikri, melainkan golongan ulul al-bab.”

Adunan inilah yang terkandung di dalam makna membaca di dalam wahyu pertama. “ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.”

Menyentuh pula tentang perlantikan dua Ahli Parlimen dari Terengganu untuk mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia iaitu seorang sebagai Menteri dan seorang sebagai Timbalan juga dilihat sebagai suatu keyakinan yang tinggi terhadap kedua-dua tokoh baru dan lama dari Terengganu itu.

Kehadiran semula Dato’ Seri Ahmad Shabery ke kementerian ini yang termasuklah bidang penyiaran kebangsaan termasuk RTM diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang, kerana sebelum ini beliau pernah menerajui kementerian berkaitan ini.

Sebagai seorang yang mempunyai daya keintelektualan yang tinggi serta petah berpidato dan berhujah serta seorang yang dinamik dan banyak idea idea baru yang berteraskan pengetahuan global dan antarabangsa.

Sudah tentu kehadiran semula Dato Seri Ahmad Shabery ditunggu-tunggu di kementerian penting ini dalam menyebarluaskan maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat- bukan sahaja untuk disampaikan dalam pelbagai bentuk dan kaedah yakni multimedia,tetapi yang pentingnya untuk difahami dan diterima.

Apatah lagi, beliau akan dibantu pula oleh Dato’ Jailani seorang yang mempunyai kepakaran di bidang komunikasi moden kerana beliau sebelum ini adalah merupakan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri dan Komunikasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Gabungan dua tokoh dan pemimpin dari Terengganu yang berkepakaran ini sudah tentu akan memberi impak yang besar dalam menjayakan kementerian yang dijenama barukan iaitu Kementerian Komunikiasi dan Multimedia.

Dunia komunikasi hari ini berkembang pesat, dunia sudah lama tanpa sempadan, langit sudah lama menjadi langit terbuka, sudah tentu pendekatan komunikasi memerlukan cara-cara baru terkini dalam konteks kepelbagaian media hari ini.

Maklumat di hujung jari, sesiapa yang lambat dan ketinggalan sebenarnya mereka akan ditinggalkan oleh zaman dan peredaran masa.

Oleh itu, harapan yang tinggi diletakkan kepada kementerian ini untuk membina masyarakat moden multimedia ini ke arah yang positif dan membawa kesejahteraan, bukan sebaliknya menimbulkan kegelisahan dan mengancam perpaduan serta keselamatan rakyat dan negara.

Bersamalah kita memberi dorongan dan sokongan kepada kedua-dua Menteri dan timbalan Menteri yang dilantik di peringkat pusat di bawah pimpinan Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak dan di peringkat negeri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad serta barisan ahli Exconya dalam pelbagai portfolio - agar usaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dapat berjalan dengan baik dan berkesan.

Jangan sekali-kali ada di kalangan kita, menjadi gunting dalam lipatan atau api di dalam sekam.

Semoga kita ikhlaskan dalam setiap apa yang kita lakukan dan jadilah rakyat yang sentiasa berterima kasih sesuai dengan peringatan hadis nabi yang bermaksud - sesiapa yang tidak berterima kasih sesama manusia, maka ia tidak bersyukur kepada Allah.



No comments: