Halaman

16 May 2013

UMT sedang melalui transformasi

Oleh: Noraini Jusoh

Sejak akhir tahun lalu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjalankan transformasi ‘governance’ (tadbir urus) bertujuan untuk menambah keberkesanan dan juga kualiti urus tadbir di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, dari awal tahun sehingga sekarang ini, pihaknya sedang memperkemaskan program-program akademik dengan menilai semula program yang sedia ada untuk memastikan ia masih lagi relevan dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, selain bakal memperkenalkan program akademik yang khas untuk peringkat antarabangsa.

"Kita juga baru memulakan satu lagi transformasi penyelidikan dan inovasi di mana kita ingin mengumpulkan penyelidik di dalam kumpulan yang terfokus supaya hasil penyelidikan mereka mempunyai nilai yang tinggi dan boleh ditonjolkan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

"UMT sebenarnya dalam proses permulaan kepada transformasi dan sedikit masa lagi kita akan laksanakan transformasi terhadap pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Tahunan UMT 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, malam semalam.


Tambah beliau, transformasi pelajar ini penting kerana sepanjang pengajian pelajar seharusnya belajar pelbagai ilmu dan bukan hanya fokus kepada pembelajaran secara formal di dalam kelas sahaja tetapi perlu belajar perkara-perkara lain yang boleh mematangkan mereka apabila menamatkan pengajian.

"Antara inisiatif yang akan kita laksanakan termasuk konsep kolej sebagai tempat pembelajaran kedua di mana setiap kolej akan ada felo-felo seperti di fakulti dan kursus-kursus insaniah akan diperkenalkan terutama kecekapan dalam bahasa inggeris dan juga komunikasi.

"Selain itu, bagi memberi nilai tambah kepada pelajar antara inisiatif lain yang akan kita laksanakan ialah mewujudkan mahasiswa yang mempunyai minda keusahawanan,” ujarnya.

Jelas beliau, tahun ini merupakan tahun menggerakkan transformasi dan tahun depan pihak universiti akan memantau keberkesanannya.