Halaman

17 May 2013

UMT tuan rumah kejohanan sirkit skuasy KPT@IPT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Kejohanan Sirkit Skuasy Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) @ Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2013 yang berlangsung selama empat hari di gelanggang skuasy UMT bermula semalam (16 Mei).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Anuar Hassan berkata, sebagai Pusat Sukan Tumpuan Skuasy, UMT dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan yang mendapat kerjasama daripada KPT Malaysia.

"Selaku mewakili tuan rumah saya mengalu-alukan kedatangan 45 mahasiswa dan mahasiswi dari sepuluh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mengambil bahagian pada kejohanan skuasy kali ini.

"Antara IPTA dan IPTS yang menyertai kejohanan ini termasuk Universti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Taylor’s College,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kejohanan Sirkit Skuasy KPT@IPT 2013, di Dewan Senat UMT, semalam.

Katanya, pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal membawa pulang hadiah lumayan di mana johan akan menerima wang tunai RM500 beserta medal dan piala pusingan.

"Manakala, naib johan pula bakal membawa pulang wang tunai RM350 dan medal sementara tempat ketiga menerima wang tunai RM200 dan medal,” ujarnya.