Halaman

17 June 2013

Bahang Sukma Ke-16 kian terasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Bahang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 kian terasa apabila Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Terengganu Sukma Ke-17 Kuala Lumpur 2013, dijadualkan akan diadakan pada 19 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyempurnakan majlis itu bertempat di Dewan Utama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, Hulu Terengganu, pada jam 8.15 malam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar akan menyampaikan ucapan perasmian sejurus selesai ucapan Haji Rozi.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan bendera kepada ketua kontinjen dan juga penyerahan komitmen pasukan sebelum berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Sementara itu, Terengganu sudah bersiap siaga untuk mempertahankan kejuaraan Sukma buat tahun kelima berturut-turut di Kuala Lumpur pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Haji Rozi berkata, seramai 438 atlet termasuk pegawai dari Terengganu bakal bersaing dalam 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu nanti.

Beliau berkata, walaupun  rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul juara sebelum ini tidak dipertandingkan, Terengganu tetap tekad untuk bersaing mengekalkan kejuaraan dan tidak mengaku kalah.

“Pada masa yang sama atlet diminta bekerja keras untuk meraih pingat, walaupun banyak acara sukan yang memberi kelebihan kepada kontinjen Terengganu untuk memperolehi pingat emas seperti lumba basikal dan kenu tidak dipertandingkan.

 “Sebalik tidak mempunyai banyak acara pilihan, atlet Terengganu akan berusaha gigih untuk mendapatkan seberapa banyak pingat emas bagi membolehkan negeri ini muncul juara Sukma untuk kali kelima berturut-turut,” katanya.

Buat masa ini atlet tempatan telah menjalani latihan dan membuat persiapan rapi agar kekal sebagai kuasa baru sukan negara, sekaligus muncul mendominasi Sukma Ke-16 nanti.