Halaman

30 June 2013

CALON PRK KUALA BESUT 1979 DATO’ WAN ZAKARIA SETUJU PILIHAN RAYA DI BULAN PUASA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bekas calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, pada tahun 1979, Dato’ Wan Zakaria Abdul Rahman memberitahu tiada masalah kalau sekiranya PRK diadakan pada bulan puasa.
   Katanya, beliau adalah calon BN dalam PRK yang diadakan di bulan puasa pada tahun tersebut menentang calon Pas dan kemenangan berpihak kepadanya yang pada waktu itu merupakan pegawai tadbir negeri Terengganu yang meletak jawatan untuk bertanding.
   “Molek juga di bulan puasa, bulan yang mulia yang kebanyakkannya kita orang-orang Islam lebih mengutamakan akhlak dan larangan-larangan agama semasa kempen berjalan,” ujarnya kepada penulis.
   Dato’Haji Wan  Zakaria selepas memenangi PRK di Dun berkenaan dilantik pula sebagai Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad).
   Pada tahun 1982 dalam Pilihan Raya Umum beliau sekali lagi dipilih bertanding dan menang serta dilantik sebagai Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah hampir lima penggal bertahan.
   Oleh itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Besut mengalu-alukan jika sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mengulangi sejarah 34 tahun lalu mengadakan PRK di Dun itu pada bulan puasa.
    Beliau menyifatkan Dun Kuala Besut adalah kubu kuat BN yang sukar ditembusi Pas dan begitu yakin BN akan menang cemerlang dan berharap boleh mencapai majoriti lebih 3,000 berbanding 2,434 pada pilihan raya umum baru lalu.
  Walau bagaimana pun beliau berharap jentera BN terus bekerja kuat sekalipun Dun Kuala Besut adalah kubu BN .
  "Saya sendiri akan turun berkempen dengan sedaya upaya saya untuk kemenangan besar BN dalam PRK kali ini," katanya.