Halaman

18 June 2013

Dua gelanggang futsal berbumbung bakal dibina

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat sentiasa meyokong penuh usaha memperkasa dan menggalakkan aktiviti sukan dalam kalangan belia di negeri ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Rusli Yusoff berkata, bagi menggalakkan lagi pembangunan sukan di Terengganu, kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan menyalurkan sejumlah peruntukan bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung di Hulu Terengganu dan Kemaman.

"Pembinaan dua gelanggang futsal berbumbung berkenaan yang bernilai RM500,000 setiap satu dijangka akan bermula Ogos ini.

"Sehingga kini, Kementerian Belia dan Sukan telah membina 170 gelanggang futsal di seluruh Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2013 Sidang 1, Peringkat Negeri Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Rusli, bagi tujuan pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak 111 Gelanggang Futsal 1 Malaysia disediakan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu melalui Rancangan Malaysia Ke-9, Rancangan Malaysia ke-10 dan peruntukan 1 Gelanggang 1 Mukim.

"Malah, di Kemaman dan Besut ada Kompleks Rakan Muda serta tambahan kompleks sukan komuniti di Besut,” ujarnya.

Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan ini diharap dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja dan digunakan sebaik mungkin oleh mereka sebagai tempat beriadah.