Halaman

20 June 2013

Tiada lagi sajak Orang Hulu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu kehilangan seorang penggiat seni tempatan terkenal, Ibrahim Mohammad Taib, 54, (gambar kanan) akibat nahas jalan raya di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Penggiat teater yang turut dikenali sebagai Ibrahim Hulu itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta Perodua Kancil dipandu mangsa dirempuh sebuah Pesona yang datang dari arah Batu 18 menghala ke Kuala Berang.
Kereta yang dipandu Allahyarham remuk teruk dalam kemalangan itu.
Pemandu kereta pesona berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta mangsa yang dalam perjalanan ke rumahnya, di Perumahan Awam Kos Rendah Ajil dari tempat kerjanya di Pejabat Veterinar Hulu Terengganu.

Rempuhan kuat mengakibatkan kereta Ibrahim melambung dan tersangkut di penghadang jalan. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Beliau yang turut mesra dengan panggilan abah di kalangan rakan rapat merupakan individu yang memiliki aura tersendiri apabila memperkenalkan sajak dalam loghat Hulu Terengganu yang menjadi bualan ramai sehingga kini.

 Kelainan yang berjaya ditonjolkan beliau menyebabkan arwah sering diundang untuk menghiburkan tetamu dan kenamaan di majlis rasmi kerajaan dan pentas kesenian di serata Terengganu.

Selain itu, arwah turut mengetuai Kumpulan Kesenian Uraong Ulu (Keulu) sejak 1995 serta sudahpun menghasilkan lebih dari 10 drama.

Kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Perkumpulan Teater Ulu Terengganu (Ultra) banyak menjayakan pementasan teater di daerah itu serta seluruh Terengganu.

Antara pementasan drama di bawah karya dan arahan beliau termasuk Jebat Derake, 1985 (Pekan Budaya Daerah); Lembu (Pertandingan Drama Peringkat Negeri Terengganu 1986); Perasan 1 (Johan Daerah Pesta Drama Sekolah –Sekolah Menengah Daerah Hulu Terengganu anjuran TV3 1987) dan Perasan 2 (Pertandingan Drama Sekolah –Sekolah Daerah Hulu Terengganu anjuran TV3 1998).