Halaman

24 June 2013

JPNT anjur Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, pada 30 Jun ini.

Pengarah JPBNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,800 dengan tempat pertama bakal menerima RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga (RM800), manakala empat hadiah saguhati setiap kumpulan masing-masing menerima RM500.

“Pertandingan ini berkonsepkan penceritaan dan sketsa secara berkumpyulan mengenai kenegaraan seperti sejarah negara, pahlawan yang menentang penjajahan dan perjuangan tokoh negara terdahulu. “Sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili setiap daerah di negeri ini akan menyertai pertandingan yang diadakan buat kali kesebelas itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Beliau berkata, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia ini bertujuan menggalakkan masyarakat menyampaikan pandangan serta pendapat mereka mengenai peristiwa bersejarah sebagai usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan bagi proses pembinaan negara dan jati diri bangsa.

Selain itu juga, JPNT berharap program ini mampu memupuk serta menyuburkab semangat integrasi nasional antara kaum, budaya, agama dan kepercayaan menerusi renteran sejarah serta perjuangan tokoh negara semasa berjuang memerdekakan negara bagi membina negara serta bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Katanya, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari.

Sehubungan itu, orang ramai terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu dan kawasan sekitar dijemput memeriahkan program itu.