Halaman

05 June 2013

Kakitangan awam diminta menghormati kerajaan dengan tidak melakukan perkara bertentangan peraturan.



Oleh: Mohammad Ishak

Kakitangan kerajaan diminta sentiasa menghormati profesion masing-masing sepanjang mereka berkhidmat dengan kerajaan dengan tidak melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kementerian atau jabatan masing-masing dengan cara sesuka hati. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota Putera, Mohd Mahdi Musa berkata mereka sebaliknya perlu menghormati semua pihak terutamanya majikan mereka dengan tidak secara suka hati mencampur adukkan tugasan mereka dengan fahaman politik kerana mereka tertakluk sebagai penjawat awam.

Katanya, kerajaan tidak menganggu pegangan atau faham politik setiap kakitangan kerajaan tetapi sebolehnya ianya mestilah menjadi rahsia kepada mereka tetapi bukan untuk ditunjuk-tunjukkan secara terbuka kepada umum atau apatah lagi dizahirkan soleh-olah untuk mencabar kerajaan sebagai tempat mereka bernaung selama ini.

“Tidak apalah kalau golongan itu mempunyai fahaman politik yang tidak sealiran dengan kerajaan tetapi jangan sekali-kali ianya dizahirkan secara terbuka ,apatah lagi berniat untuk mencabar pulak“, katanya ketika melawat dua orang guru yang diserang penyakit kronik di kawasan Kota Putera di sini hari ini.

Dalam lawatan yang disertai sama Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hasan itu, Mohd Mahdi telah menziarahi guru Kolej Vokasional Besut, Haliza Hassan, 39 yang menghidap penyakit kanser payudara di Kampung Gelam Mas dan Mariati Mayah@Alias, 41 seorang guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering, Jerteh yang menghadapi kerosakan kedua-dua belah buah pinggangnya di Kampung Gong Kepas Dalam.

Mohd Mahdi kesal dengan tindakan guru di sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu yang dikatakan merayakan Sambutan Hari Guru dengan pemimpin pembangkang pada Khamis lalu yang disiarkan dalam laman sosial Facebook.

Menurutnya, sebagai penjawat awam mereka sepatutnya mengutamakan pemimpin dari kerajaan yang memerintah dan bukan dari kalangan pemimpin pembangkang walaupun mereka telah memenangi dalam PRU13 di kawasan sekolah berkenaan.

Beliau berharap satu tindakan perlu diambil bagi memperbetulkan keadaan tersebut oleh Kementerian Pelajaran agar ianya tidak berlaku dan berleluasa di masa depan.