Halaman

22 June 2013

Karnival kemahiran dedah peluang kerjaya

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha penganjur menampilkan Masterchef Malaysia, Papa Joe pada Karnival Skills Malaysia T-scip, Transformasi Kemahiran, Kerjaya dan Pendapatan Satu Malaysia, berjaya memberi inspirasi kepada golongan muda untuk terus mengorak langkah dalam bidang kulinari dan keusahawanan.

Karnival selama tiga hari bermula 20 Jun itu juga disertai 13 buah pusat kemahiran yang turut mengambil peluang mempromosikan institut mereka kepada masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Gabungan Pusat Kemahiran Terengganu (GAKEMT), Encik Mat Zani Puteh berkata karnival terbabit bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti khususnya golongan belia mengenai peluang kerjaya menerusi bidang kemahiran.

 "Program ini berupaya mendedahkan kepada remaja dan ibu bapa peluang kerjaya dalam pelbagai bidang kemahiran yang disediakan pelbagai agensi kerajaan dan juga badan swasta.

"Pada masa yang sama, dapat membantu meningkatkan pendap atan isi rumah kepada semua golongan termasuk pelajar, surirumah, ibu tunggal, ketua isi rumah, graduan menganggur, dan keseluruhan masyarakat amnya dengan pelbagai peluang yang disediakan," katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Skills Malaysia T-scip, di Quinara Al-Saffir Tok Jembal, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata selain memberi input kerjaya, program seumpama itu adalah satu usaha menarik minat golongan muda mendekati program membabitkan kerajaan dan swasta kearah membantu menjamin masa depan kerjaya mereka.

"Dalam suasana cabaran ekonomi yang semakin mencabar, program ini amatlah positif untuk mewujudkan lebih ramai tenaga kerja baru, selain ia satu program latihan berbentuk 'hands-on' dengan jaminan kerjaya yang cemerlang.

 "Karnival ini sememangnya menepati prinsip 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan', sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam merakyatkan pentadbiran negara agar masyarakat dapat hidup selesa dan berilmu," katanya.

Encik Mat Zani berkata, karnival itu disasarkan kepada golongan ibu tunggal, belia lepasan sekolah, penduduk setempat termasuk usahawan, kaunselor, dan pemimpin masyarakat.

Antara pengisian program terbabit adalah pameran daripada pusat latihan kemahiran kerajaan dan swasta, pertandingan memasak dan demonstrasi masakan, seminar ceramah perdana, program derma darah dan demo memadam api.

 Selain itu, pelbagai gerai jualan oleh Kelab Usahawan pusat kemahiran juga disediakan bagi memupuk budaya keusahawanan muda di kalangan pelatih.

Justeru, Mat Zani berharap, program seumpama itu dapat membuka mata belia dan penganggur bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat sekaligus mewujudkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi mengisi pelbagai jawatan yang ditawarkan agensi berkaitan.