Halaman

12 June 2013

Kerajaan beri sumbangan RM10,000 kepada Mazlan dan Habsah

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Mazlan Zakaria

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi sumbangan kepada dua orang
penggiat seni yang uzur iaitu Encik Mazlan Zakaria, 53,dan Puan Habsah Jusoh,65.

Habsah Jusoh
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, setiap seorang akan menerima RM10,000 daripada kerajaan bagi meringankan beban yang sedang mereka hadapi.

“Kerajaan bersimpati dengan apa yang dilalui dua orang aktivis seni berkenaan dan mesyuarat memutuskan untuk memberi sumbangan RM10,000 setiap seorang bagi menampung perbelanjaan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kerajaan bersimpati dengn apa yang berlaku dan berharap mereka bersabar menghadapi segala dugaan hidup. “Kita akan buat penyerahan cek kepada mereka berdua dalam masa terdekat,” katanya.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah  kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer dan pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada 1990 an.

 Bapa kepada tujuh itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini kaki kanannya telah dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.

Manakala Puan Habsah mengidap serangan strok dan sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.