Halaman

18 June 2013

Kerajaan berjaya bawa masuk 19 industri baru

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan berjaya membawa masuk 19 industri baru ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan berjumlah hampir 4,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, kerajaan juga berusaha untuk mempercepat serta memudahkan bagi mana-mana syarikat mendapat tapak di negeri ini demi kepentingan rakyat.

“Contohnya jika kawasan yang dipohon itu tidak melebihi 10 hektar ia akan mendapat kelulusan yang cepat , perlu diberi taklimat pelaburan yang ingin dibuat serta diperakui oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah mendapat keputusan penelitian dan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.

 “Kalau ia  melebihi 10 hektar akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapat kelulusan kemudian jika berjaya tawaran bayaran premium akan dikeluarkan serta kebenaran untuk pembinaan kilang dan sebagainya,” katanya.

Dato’ Haji Tengku Putera (BN-Kuala Berang) berkata demikian ketika menjawab soalan YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) pada Sidang Dewan Undangan Negeri  yang meminta penjelasan jumlah industri baru yang dibawa masuk ke kawasan industri Teluk Kalong serta peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mempercepat perkara berkaitan kelulusan sesuatu permohonanan tapak industri termasuk menyediakan Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi memastikan setiap pelabur yang datang terus mendapat tempat di sini. Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama,

Dato’ Haji Tengku Putera berkata, sebanyak 8,887 peluang pekerjaan dalam industri  pada 1999-2004 (ketika Pas memerintah) manakala bagi tempoh 2008 hingga Mei 2013 sebanyak 23,477 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.