Halaman

16 June 2013

M.A.C FC juara edisi kedua kejohanan futsal Red Bull

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Malaysia, M.A.C FC muncul juara edisi kedua kejohanan selepas menunggu dua tahun, di pertandingan akhir Kejohanan Futsal Red Bull Tri-Nations Cup 2013 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.



Perlawanan sengit di pentas final itu menyaksikan M.A.C FC menumpaskan pasukan negara, Gelombang FC dengan jaringan tipis 5-4 sambil disaksikan 3,000 penonton. Dengan kemenangan itu, M.A.C FC menggondol hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala kejohanan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Red Bull, Jyn Wee dan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Gelombang FC yang merangkul naib johan pula membawa pulang wang tunai RM10,000, sementara Indera SC dari Brunei mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang RM5,000 berserta medal. Kejohanan dwitahunan itu menyaksikan dua pasukan mewakili masing-masing tiga negara Asia Tenggara-Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sebanyak enam pasukan yang bersaing dalam kejohanan dua hari itu, iaitu Gelombang FC dan M.A.C FC dari Malaysia, Indera SC Futsal dan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dari Brunei manakala Singapura diwakili oleh pasukan Mountbatten Football Club A dan B.



Sementara itu pengurus pasukan M.A.C FC, Encik Mimi Afzan Afza berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan corak persembahan pemainnya yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya dan membawa pulang piala kejohanan dari penyandang terdahulu, Brunei pada edisi sulung 2011.