Halaman

17 June 2013

MB saksikan acara motorcross di Kenyir

Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kenyir Motorcross Challenge 2013 di Tasik Kenyir.

Oleh: Kamarudin Mat Akib 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menyaksikan acara Kenyir Motorcross Challenge 2013 yang berlangsung di Tasik Kenyir petang semalam.

Sebaik saja selesai Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di bangunan DUN di Wisma Darul Iman, beliau terus ke majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Boat On The Road anjuran Media Prima dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.


Selepas itu, Menteri Besar ke lokasi pertandingan Kenyir Motorcross Challenge 2013 yang diadakan berhampiran Tasik Kenyir, bagi menyaksikan acara terakhir kejohanan tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankasa Pelancongan, Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.


Mohd Zakaria Alang mengungguli acara Cup Cross 4 Lejang dan meraih wang tunai RM1,000 manakala tempat kedua dimenangi Mohd Hakim Kamaruddin (RM800) dan ketiga Takiyuddin Jamaluddin (RM600).

Bagi acara Cup Cross 2 Lejang pula, johan ialah Mohd Zulkifli Abd Mutalib, naib johan Mohd Salam Idris dan ketiga Mohd Asyraf Mohd Syukur.

Manakala acara Junior dimenangi Mohd Daud Kasim, kedua Mustakim Safri dan ketia Mohd Zubir Hassan Kassim.