Halaman

16 June 2013

Mohd Zubir Embong dilantik sebagai Speaker DUN Terengganu

Oleh: Suriati Ali

 Secara rasminya bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu Pilihan Raya Umum Ke-13 9PRU13) Mohd Zubir Embong,dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru.

 Pengisytiharan pelantikan beliau diumumkan oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Encik Azhar Jusoh pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Encik Azhar mengumumkan perkara itu selepas mendapat perkenan dan berdasarkan watikah pelantikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mohd. Zubir yang merupakan bekas Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kemudian mengangkat sumpah jawatan tersebut pada sidang hari pertama yang dihadiri kesemua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

 Selepas itu disusuli pula upacara mengangkat sumpah oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Ia diikuti 16 wakil rakyat BN sebelum kesemua 15 Adun daripada parti pembangkang turut mengangkat sumpah.



Ia merupakan persidangan pertama Sidang DUN Terengganu selepas PRU 13 yang menyaksikan BN mempertahankan pemerintahannya dengan memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN dan empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu.