Halaman

26 June 2013

NGO Wanita perlu bersatu- isteri SUK

Oleh; Esah Abdullah

 Persatuan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita negeri ini perlu bersatu melalui penganjuran program secara bersama.
 Isteri Setiausaha Kerajaan merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) To’ Puan Hajah Rohani Abdullah berkata, kebiasaannya setiap persatuan menjalankan program masing-masing dengan hanya melibatkan ahli persatuan mereka sahaja tanpa melibatkan orang luar persatuan.

“Persatuan-persatuan dan NGO wanita di negeri ini sangat aktif tetapi sebahagian besarnya bergerak secara sendiri. Justeru itu, kita berharap kita bersatu dengan mewujudkan program secara bersama,” katanya.

Katanya,sekiranya program dijalankan secara bersama, banyak manfaat dapat dikongsi di kalangan wanita di samping penyertaan yang lebih ramai. Beliau berkata demikian selepas Penyampaian Hadiah Pertandingan Tenpin Boling Persahabatan Antara NGO-NGO anjuran Puspanita Negeri Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER), baru-baru ini.

Penaung Puspanita yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Mengulas lanjut berkaitan tenpin tersebut, katanya pertandingan tersebut mungkin bakal dijadikan antara aktiviti secara bersama persatuan dan NGO wanita melihat kepada sambutan yang menggalakkan.

Pertandingan tersebut disertai, Persatuan Isteri-Isteri dan Anggota Wanita Telekom Malaysia (Tiaranita), Persatuan Isteri dan Anggota Kerja Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis), Persatuan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita), Persatuan Wanita Felda (Wada), Serikandi dan Puspanita.

Dalam pertandingan persahabatan tersebut, Pasukan Puspanita B menjadi juara dengan jatuhan pin sebanyak 1,298, tempat kedua menjadi milik pasukan Petronita B (971) dan tempat ketiga adalah Pelitawanis dengan jatuhan pin 951.