Halaman

27 June 2013

Speaker serah surat maklum kekosongan kerusi DUN Kuala Besut

Haji Mohd Zubir (kanan) menyerahkan surat memaklumkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut (N1) kepada Pengarah SPR negeri, Encik Fakhrul Razi di Wisma Darul Iman, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong menyerahkan surat bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut (N1) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, semalam.

Surat berkenaan disampaikan kepada Pengarah SPR negeri, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab di Pejabat DUN, Wisma Darul Iman, jam 9.50 pagi ini.

Sidang media turut diadakan sebelum penyerahan surat itu.
Haji Zubir berkata,berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr Haji A Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam (Rabu), sekaligus berlaku kekosongan kerusi berkenaan.

 “Menurut perlembagaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) Fasal 44 (5) kekosongan kerusi DUN hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh berlakunya kekosongan itu.

“Insya-Allah hari ini kita akan serahkan surat mengenai kekosongan ini kepada Pengerusi SPR. Tugas saya selaku Speaker hanya memaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN itu kepada SPR untuk tindakan lanjut,” katanya.


Adun Kuala Besut, YB Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat kanser paru-paru, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, jam 10.18 pagi semalam.

Allahyarham dipilih menjadi Adun Kuala Besut pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008, sebelum dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 April 2008 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, perpaduan dan Hal Ehwal Negeri.

Beliau sekali lagi kekal sebagai Adun Kuala Besut bagi penggal kedua selepas memenangi PRU13 dan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada 11 mei lalu.