Halaman

30 June 2013

Pembangkang guna dana asing untuk jatuhkan kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kenyataan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bahawa Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menggunakan dana asing bagi menganjurkan perhimpunan Black Out 505 di ibu negara baru-baru ini, menguatkankan lagi fakta pembangkang menggunakan dana asing bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Sejak sebelum pilihan raya lagi, banyak pihak mendakwa pembangkang menerima dana asing bagi mengadakan perhimpunan haram bagi melemahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pihak pembangkang dikatakan sanggup menggunakan dana asing bagi menjatuhkan kerajaan, sekaligus membolehkan mereka ‘menawan’ Putrajaya, menyebabkan mereka terpaksa mengikut telunjuk kuasa asing berkenaan seandainya berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahatihir Mohamed, turut mendedahkan perbuatan keji Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, mendapatkan dana asing bagi mengadakan rusuhan di jalanan dan perhimpunan haram bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, semakin banyak rusuhan dilakukan pihak pembangkang, semakin banyak dana diterima daripada pihak asing yang mahu melihat kejatuhan Kerajaan BN di negara ini bagi membolehkan mereka menguasai Malaysia secara tidak langsung.

Jusuf Kalla yang merupakan sahabat baik Anwar mendedahkan niat jahat Ketua Pembangkang itu kerana kecewa dengan sikap Anwar yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan pembangkang pada PRU-13 dan terus melakukan tindakan yang boleh menjejaskan Kerajaan Malaysia.

Itulah sikap sebenar Anwar yang tidak akan berdiam diri, tetapi sentiasa mencari jalan mahu menjatuhkan kerajaan walaupun dengan cara yang tidak betul.

Beliau dan konco-konconya sanggup menggadaikan maruah negara, hatta ke peringkat menjahanamkan negara asalkan matlamat utama beliau mahu menjadi Perdana Menteri dapat dicapai.

Kita hairan selepas pendedahan demi pendedahan mengenai sikap buruk Anwar dilakukan, termasuk di kalangan rakan karibnya dari dalam dan luar negara, masih ada yang menyokong perjuangan beliau, teramsuk sanggup menjadi penganjur perhmpunan haram.

Harapan kita Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut nanti akan menjadi medan rakyat Terengganu untuk menguburkan parti pembangkang, dengan memberi majoriti terbesar kepada calon BN.