Halaman

19 June 2013

Penemuan Mineral Andalusit di Terengganu

Terengganu dijangka memperoleh hasil pendapatan baharu berikutan penemuan Mineral Andalusit, sejenis bahan mineral dalam bentuk kristal, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Terengganu, Encik Zukeri Abdul Ghani berkata Mineral Andalusit ialah sejenis bahan yang tahan panas pada suhu yang tinggi dan lazimnya diguna dalam industri besi.

"Nama Andalusit mengambil sempena nama Andalusia di Sepanyol iaitu tempat pertama ia ditemui. Bahan itu merupakan komponen kimia alumina silikat yang sesuai untuk kegunaan industri refraktori termaju.

 "Jika kajian mendapati ia berpotensi untuk diusahakan, maka Terengganu mempunyai sumber mineral baharu untuk dikomersialkan," katanya di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) jabatan itu, seamalm.

Encik Zukeri berkata JMG sedang mengkaji dan memperhalusi gred dan jumlah bahan itu untuk dikeluarkan sebagai hasil ekonomi baharu Terengganu pada masa depan.

Beliau berkata nilai bahan itu boleh mencapai sehingga AS$7,000 (RM22,074) untuk satu tan berbanding bijih besi yang berharga antara AS$200 (RM630) hingga AS$300 (RM946) setiap satu tan.